X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka tutup Pulau Besar elak penularan Covid-19

Sulaiman (tengah) ketika melakukan Flag Off Ziarah Prihatin Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Baru, Melaka hari ini.
A
A

MELAKA - Penutupan Pulau Besar daripada sebarang penganjuran aktiviti adalah langkah optimis kerajaan negeri untuk mengekang penularan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, penutupan pulau tidak hanya tertumpu kepada pulau pelancongan itu sahaja malah membabitkan kesemua pulau yang terdapat di Melaka.

Menurutnya, tindakan itu juga bagi mengelakkan sebarang kemunculan kluster baharu yang berpunca daripada perhimpunan yang diadakan terutamanya di pulau itu sempena sambutan Maulidur Rasul.

"Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri memutuskan tiada program berskala besar diadakan di negeri ini bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Acara mahupun perjumpaan berskala kecil yang membabitkan perjumpaan dalaman sahaja dibenarkan dalam tempoh pandemik ini dan program berskala besar melebihi jumlah yang telah ditetapkan adalah dilarang sama sekali malah kita tidak mahu dalam tempoh ini akan muncul kluster baharu," katanya.

Sulaiman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Ziarah Prihatin sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H/2020M di Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil serta tetamu lain.

Sebelum ini Pulau Besar sering kali menjadi tumpuan lokasi penganjuran program-program keagamaan termasuk sambutan Maulidur Rasul setiap tahun.

Sementara itu, Halim berkata, umat Islam mempunyai hak untuk memboikot dengan tidak membeli barangan buatan Perancis, sebagai langkah memberi peringatan kepada negara berkenaan bahawa sensitiviti berkaitan agama tidak wajar dipermainkan.

Menurutnya, campur tangan politik oleh pemimpin negara itu, Emmanuel Macron yang mempertahankan tindakan seorang guru yang mati dibunuh kerana membawa karikatur menghina Nabi Muhammad SAW ke dalam kelasnya jelas menghina agama Islam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!