Penuntut ditipu jual beli iPhone murah

M Zambri
M Zambri
A
A
A

BESUT - Seorang remaja perempuan berputih mata untuk membeli telefon pintar jenis iPhone 11 Pro Max yang diiklankan pada harga murah di laman sosial apabila ditipu RM3,200.

Mangsa yang juga penuntut berusia 21 tahun itu berurusan dengan seorang lelaki yang mendakwa tinggal di Setiawan, Perak sebelum bersetuju membelinya pada harga yang ditawarkan.

Katanya, dalam perbualan mereka melalui aplikasi WhatsApp, suspek mengajak mangsa berjumpa di Manjung, Perak dengan alasan mudah untuk berbincang selain dapat melihat sendiri dengan jelas telefon pintar tersebut.

"Mangsa terpaksa menolak pelawaan itu kerana jarak yang jauh sebelum menghubungi rakannya yang berada di Perak meminta mewakilkannya untuk urusan itu.

"Selepas rakannya bersetuju, remaja itu terus memaklumkan kepada suspek nama rakan yang akan ke lokasi seperti dijanjikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Jelas sumber itu, pada hari yang dijanjikan, kira-kira jam 10 malam, mangsa menerima mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali memperkenalkan nama rakannya.

Katanya, selepas dijelaskan mengenai keadaan telefon pintar tersebut oleh 'rakannya' itu, mangsa terus bersetuju sebelum membuat pindahan wang berjumlah RM3,200 ke dalam akaun bank yang diberikan.

"Kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa sekali lagi menerima mesej daripada nombor rakannya yang sebenar bertanyakan sama ada bersetuju atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

"Terkejut dengan pertanyaan itu, mangsa terus menghubungi rakannya sebelum diceritakan hal sebenar dan mangsa menyedari dia sudah berurusan dengan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai rakannya sebelum membuat laporan polis," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, modus operandi suspek ialah menawarkan penjualan telefon pintar yang tidak wujud di laman sosial pada harga murah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.