Pejabat Erdogan ikrar ambil tindakan isu kartun

Erdogan
Erdogan
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyuarakan kemarahan semalam berhubung kartun 'menjelikkan' yang menggambarkan beliau merenung ke arah skirt seorang wanita ketika memegang sebuah tin bir sambil memakai seluar dalam dan disiarkan menerusi majalah Charlie Hebdo.

Erdogan berkata, beliau secara peribadi tidak melihat karikaturnya di majalah tersebut kerana tidak mahu memberi 'pengiktirafan' kepada sebuah penerbitan tidak bermoral itu.

"Saya tidak perlu menyatakan apa-apa kepada penyangak yang telah menghina nabi saya seperti itu.

"Saya berasa sedih dan kecewa kerana serangan menjelikkan itu dilakukan ke atas saya secara peribadi tetapi kerana kebiadaban disebabkan menyasarkan nabi kita yang kita sayangi berbanding diri kita," katanya dalam satu ucapan kepada anggota-anggota

Parlimen.

Turki merupakan negara yang didiami ramai penduduk Muslim tetapi secara rasminya merupakan sebuah negara sekular namun mengambil pendekatan lebih konservatif dan nasionalis di bawah pemerintahan Erdogan.

Pejabat Erdogan juga berikrar akan mengambil 'tindakan diplomatik dan undang-undang' manakala stesen televisyen Turki iaitu NTV menyatakan Ankara telah memanggil seorang pegawai kedua paling kanan di Kedutaan Perancis untuk menyuarakan 'kutukan

kerasnya'.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan yang biasa, Duta Perancis akan dipanggil tetapi beliau sudah dipanggil pulang ke Paris untuk perundingan sekali gus menunjukkan petanda hubungan kedua-dua negara yang menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu semakin

merosot.

Penyiaran kartun Erdogan itu disiarkan malam Selasa lalu iaitu beberapa hari selepas Presiden Turki itu mendesak barang-barang Perancis diboikot dan mempersoalkan kewarasan Presiden Perancis, Emmanuel Macron kerana memperkenalkan tindakan bagi memerangi golongan ekstremis Islam di negaranya.

Macron mempertahankan hak media untuk mempersendakan agama seperti penyiaran semula kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW oleh majalah berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan di seluruh Turki dan negara Islam lain.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam menjadi tokoh Islam terbaru mengkritik Presiden Perancis itu dengan menyatakan tindakannya mempertahankan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW itu sebagai satu tindakan

'bodoh' dan menghina mereka yang mengundinya dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, Macron mempertahankan hak majalah Charlie Hebdo menyiarkan kartun yang menggambarkan kartun Nabi Muhammad SAW itu yang dilarang oleh agama Islam.

Kepala seorang guru, Samuel Paty kemudian dipenggal pada 16 Oktober lalu oleh seorang remaja berusia 18 tahun iaitu Abdullakh Anzorov berketurunan etnik Chechen kerana kartun tersebut dijadikan bahan pengajaran untuk kelasnya bagi membincangkan

isu kebebasan bersuara.

Remaja itu kemudian mati ditembak polis.

Pejabat majalah itu turut diserang oleh dua adik-beradik pada tahun 2015 yang membunuh 12 orang termasuk pelukis kartun ternamanya kerana menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW.

Kedua-dua penyerang itu kemudian mati ditembak polis.

Beberapa pegawai Turki mendakwa Macron tidak adil menyasarkan penduduk Muslim dan menanamkan budaya yang menggalakkan majalah tersebut menggunakan haknya untuk menghina agama Islam.

Sejak lebih minggu lalu, protes dan perhimpunan telah diadakan di kebanyakan negara bermajoriti penduduk Muslim bagi mengutuk Macron.

Di Syria, para penunjuk perasaan membakar gambar Macron dan bendera Perancis manakala yang lain berhimpun di bandar raya Mumbai, India dan sebahagian tempat di Bandar Gaza semalam.

Sementara itu, di Mali kira-kira 5,000 penunjuk perasaan berhimpun di masjid Bamako semalam bagi menuntut Macron menuntut maaf kerana mempertahankan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semalam menulis kepada pemimpin negara Muslim mendesak mereka bertindak secara bersama menentang Islamofobia manakala sebuah rangkaian pasar raya di Kuwait menyatakan kebanyakan pasar rayanya

telah mengosongkan barangan Perancis di rak jualannya.

Bagaimanapun, tindakan Macron mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin Eropah dan Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam.

"Kami menyesali serangan peribadi dalam bahasa yang tidak dapat diterima ke atas Presiden Emmanuel Macron sekali gus mencabul perkara paling asas kebebasan bersuara antarabangsa," kata satu kenyataan daripada Kementerian Luar India.

Dalam pada itu, Denmark yang pernah menyiarkan kartun menggambarkan Nabi Muhammad SAW yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam dan disiarkan pada tahun 2005 semalam berkata, ia berdiri teguh bersama Perancis berhubung isu tersebut.