30 buah rumah terjejas dipukul ribut

Wan Hassan (kiri) meninjau keadaan rumah salah seorang penduduk di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh yang rosak teruk akibat ribut petang semalam.
Wan Hassan (kiri) meninjau keadaan rumah salah seorang penduduk di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh yang rosak teruk akibat ribut petang semalam.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebanyak 10 buah rumah di Kampung Telaga Papan, Semerak di sini rosak teruk selepas dipukul ribut dalam kejadian petang semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang itu turut mengakibatkan 20 buah rumah yang lain terjejas.

Seorang penduduk, Zawawi Ariffin, 51, ketika menceritakan kejadian itu berkata, beliau bersama isteri dan tiga anaknya sedang berbual di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan angin kuat dan hujan lebat.

Pegawai JKM Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Hussin (kanan) bersama Wan Hassan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh hari ini.
Pegawai JKM Pasir Puteh, Wan Norhayati Wan Hussin (kanan) bersama Wan Hassan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh hari ini.

"Kami kemudian mengambil keputusan berlindung di bahagian dapur tetapi tiba-tiba angin kencang itu menerbangkan bumbung rumah dan kami semua basah kuyup.

"Saya tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah kerana angin terlalu kencang dan hujan lebat," katanya ketika ditemui hari ini sambil memberitahu terpaksa menumpang di rumah ibunya sementara kerja-kerja baik pulih rumah dilakukan.

Terdahulu, beliau turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Zawawi menunjukkan bumbung rumahnya tercabut dalam kejadian ribut di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh petang semalam.
Zawawi menunjukkan bumbung rumahnya tercabut dalam kejadian ribut di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh petang semalam.

Hadir sama, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Puteh yang turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat.

Seorang lagi penduduk, Sahidi Awang Teh, 55, berkata, beliau dan keluarganya berdepan detik cemas apabila sebatang pokok mangga berusia lebih 70 tahun menghempap bahagian hadapan rumah selain angin kuat menerbangkan bumbung kediamannya itu.

Bagaimanapun, menurut Sahidi, beliau lega apabila isteri dan tiga anaknya selamat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, pihaknya akan bertindak segera membantu dan membaiki kerosakan rumah yang dialami oleh penduduk.

Katanya, anggaran keseluruhan akibat ribut itu mencecah RM100,000.

Sahidi (kanan) menunjukkan pokok mangga berusia 70 tahun yang tumbang dan menghempap bahagian hadapan rumahnya di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh ketika menerima lawatan dari Wan Hassan (kiri) hari ini.