MB Negeri Sembilan tegur jabatan kerajaan

Aminuddin (empat, kiri) menyerahkan anugerah kepada Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang memenangi pengurusan terbaik yang diterima Datuk Mohd Yusof Ahmad.
Aminuddin (empat, kiri) menyerahkan anugerah kepada Jabatan Mufti Negeri Sembilan yang memenangi pengurusan terbaik yang diterima Datuk Mohd Yusof Ahmad.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menegur jabatan kerajaan yang dilihat masih bergerak perlahan dalam melaksanakan perancangan kerajaan negeri, walhal ia sudah diputuskan.

Menurutnya, terdapat jabatan yang masih mengekalkan cara lama dengan menunggu arahan lanjut bagi melaksanakan sesuatu tugasan.

“Kalau dulu saya hanya memerhati, tapi hari ini saya perlu buat teguran demi rakyat Negeri Sembilan.

“Gerak kerja kita perlu dipercepatkan kerana rakyat kini mula beranggapan yang pergerakan kerajaan hari ini terlampau perlahan sedangkan mereka menanti apa yang kita janjikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Persidangan 2019 Pegawai Pengawal Negeri Sembilan di Hotel Klana Resort di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, setiap jabatan hendaklah proaktif dalam melaksanakan segala tindakan yang diputus dan diluluskan dalam pembentangan bajet yang lalu termasuklah beberapa inisiatif yang diumumkan.

“Jangan tunggu sampai hujung tahun untuk dilaksanakan kerana inilah masanya kerajaan buat penilaian apa perlu ditambah baik untuk bajet akan datang. Kita juga nak lihat sama ada rakyat sudah menikmati manfaat bajet diumumkan atau tidak. Adakah ia sekadar pengumuman semata-mata.

“Bukannya lepas saya umumkan bajet, kemudian saya tinggal begitu saja. Sebagai contohnya bantuan tambang bas sekolah untuk pelajar miskin, sepatutnya ia sudah berjalan kerana sudah sebulan berlalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara itu turut membabitkan bayaran kepada kontraktor bagi projek kerana ia perlu dibayar segera mengikut prosedur ditetapkan atau sebaik sahaja projek disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Kelewatan menjelaskan bayaran adalah tidak adil kepada mereka. Kontraktor pula kalau nak cepat dapat bayaran, ikut prosedur ditetapkan dan tepati masa,” katanya.

Terdahulu beliau ketika berucap berkata, budaya dan proses kerja adalah aspek penting yang perlu diberi perhatian dan ditambah baik di bawah pentadbiran baharu.

“Kerajaan sedar yang sistem penyampaian hari ini sentiasa diperhatikan oleh rakyat dan sebagai sebuah kerajaan baharu, kita tidak boleh mengelak untuk dilihat dan dibandingkan dengan pentadbiran lama,” katanya.