Dua usul undi percaya, 25 tidak percaya PM dikemukakan

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa terdapat dua usul undi percaya menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat.

Menurut laporan Malaysiakini, Fahmi berkata, kedua-dua usul tersebut datangnya daripada ahli Parlimen kerajaan iaitu ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas.

"Seramai 25 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul menentang Perdana Menteri berdasarkan draf Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang Parlimen, 2 November ini," katanya hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa perkara tersebut tertakluk kepada perubahan.

"Parlimen akan menghantar salinan semua pertanyaan dan usul yang kami hantar (kepada ahli Parlimen).

"Tetapi urusan mesyuarat itu tertakluk kepada perubahan selanjutnya. Ini hanya sebagai panduan," katanya.

Difahamkan usul undi tidak percaya yang pertama menurut Aturan Mesyuarat ialah daripada Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) di kedudukan nombor 18, diikuti oleh usul undi percaya oleh Muhammad Zawawi.

Di bawah Peraturan Mesyuarat, urusan kerajaan diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan terlebih dahulu di mana rang undang-undang bagi undang-undang baharu dan pindaan daripada kerajaan didahulukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam draf ketika ini Dewan Rakyat ditetapkan membahaskan terlebih dahulu pindaan terhadap Akta Koperasi, diikuti rang undang-undang untuk membentuk Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan pindaan terhadap Akta Racun.

Rang undang-undang untuk membahaskan dan meluluskan Belanjawan 2021 dijangka ditambah kemudian dan kerajaan juga boleh menambah atau menarik balik rang undang-undang lain.