Ahli politik perlu contohi akhlak Rasulullah: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. - Foto: Royal Selangor Office
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. - Foto: Royal Selangor Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya ahli politik mencontohi akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyatupadukan rakyat dan mengatasi penularan pandemik Covid-19.

Baginda bertitah ketika ini rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi akibat wabak berkenaan.

"Ahli-ahli politik perlu bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan rakyat terus hidup aman dan harmoni.

"Perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara," titah baginda menerusi perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini.

Titah baginda, rakyat juga perlu menghayati dan mengamalkan ajaran Islam seperti bimbingan junjungan besar Nabi Muhammad.

"Baginda Rasulullah SAW seorang insan mulia dan agung yang merupakan anugerah ALLAH kepada umat manusia.

"Baginda merupakan seorang khalifah yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak yang mulia serta erti kehidupan yang sebenarnya," titah baginda.

Baginda juga bertitah sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, umat Islam perlu terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu Al-Quran dan sunnah dalam kehidupan harian.

Artikel Berkaitan: