Dimethyl Disulfide dikesan dalam sampel tanah Sungai Batang Benar

Analisis sampel yang diambil dari lokasi punca pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai mendapati ia merupakan sebatian organik jenis ‘Dimethyl Disulfide'. Gambar kecil: S Veerapan
Analisis sampel yang diambil dari lokasi punca pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai mendapati ia merupakan sebatian organik jenis ‘Dimethyl Disulfide'. Gambar kecil: S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan awal analisis sampel yang diambil dari lokasi punca pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai mendapati ia merupakan sebatian organik jenis ‘Dimethyl Disulfide'.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, keputusan itu diperoleh Sabtu lepas (24 Oktober) hasil daripada analisis ke atas lima sampel tanah yang diambil di sekitar belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai yang menjadi punca pencemaran di sungai berkenaan.

“Dimethyl Disulfide adalah satu sebatian organik yang biasanya digunakan sebagai bahan tambahan dalam industri makanan dan juga digunakan sebagai bahan pemangkin dalam industri petrokimia.

“Walaupun maklumat telah diperoleh daripada siasatan yang dijalankan ke atas suspek dan beberapa lagi pihak yang berkaitan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan masih meneliti semua fakta kes yang telah diperoleh sepanjang siasatan sebelum rumusan dapat dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini kes berkenaan yang telah mengakibatkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi di Selangor dihenti tugas.

Pada 5 Oktober, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan bahawa sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik tersisa ditemui di belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Susulan itu, tiga lelaki berumur 30an hingga 40an ditahan di Kota Bharu, Kelantan dengan dua daripadanya ditahan pada 6 Oktober dan 12 Oktober lepas, bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Berikutan pencemaran itu, ia telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. - Bernama

Artikel Berkaitan: