Kerap basuh tangan, bersihkan diri terjemahan ajaran Nabi

Hajiji Mohd Noor
Hajiji Mohd Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Walaupun sambutan Maulidur Rasul tidak dapat disambut seperti biasa namun semangat dan matlamatnya masih boleh diterjemahkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, walaupun kali ini tiada perarakan dan perhimpunan kerana berhadapan dengan ujian koronavirus (Covid-19), namun objektif sambutan dapat dicapai dengan cara lain.

"Normal baharu dalam menyambut Maulidur Rasul ialah bagaimana kita mengajak sesama kita untuk menghayati serta mencontohi ajaran Rasulullah SAW dalam kita menghadapi dugaan Covid-19 yang melanda negara khasnya negeri kita di Sabah yang tercinta.

"Salah satu ciri keindahan hidup sejagat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah menjaga kebersihan dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh memudaratkan diri dan orang lain," katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sabah, hari ini.

Beliau turut berkata, wabak Covid 19 mengajar rakyat betapa pentingnya menjaga kebersihan diri, rumah serta persekitaran.

"Prosedur operasi standard (SOP) seperti kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri sebenarnya adalah terjemahan daripada ajaran Nabi (Muhammad SAW) yang perlu kita hayati dan amalkan," katanya.

Terdahulu, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul SAW dan berdoa supaya negara dan dunia keseluruhannya segera pulih daripada wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan: