DAP nafi sokong Saarani jadi MB Perak

ABDUL AZIZ
ABDUL AZIZ
A
A
A

IPOH - DAP Perak menafikan mereka menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, parti itu tidak pernah memberikan sokongan kepada mana-mana ADUN UMNO untuk menjadi Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, semua khabar angin yang mengaitkan DAP hanya gimik politik semata-mata.

"Kami tidak seperti UMNO yang kata DAP nak gulingkan Ahmad Faizal. Sekarang baru UMNO tahu susahnya bekerja dengan Ahmad Faizal. Setiausaha Politik dia pun hilang entah ke mana.

"Dia (Ahmad Faizal) sibuk mencatur masa depan tetapi dirinya juga belum tentu kerana masalah di peringkat pusat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal kononnya DAP bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong Saarani sebagai Menteri Besar Perak menggantikan Ahmad Faizal.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dalam kenyataannya menjelaskan beliau enggan mempercayai dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO Perak berkomplot dengan parti pembangkang di negeri itu bagi menumbangkan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) yang diterajuinya.

Pengerusi Bersatu Perak itu turut menzahirkan kepercayaan penuh beliau kepada Saarani kerana menganggap Pengerusi UMNO Perak itu sebagai guru dalam bidang politik.

ARTIKEL BERKAITAN 'Tak percaya UMNO Perak berkomplot dengan pembangkang'

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Saarani turut menafikan laporan berkenaan yang mendakwa beliau menerima cukup sokongan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak bagi menggantikan Ahmad Faizal

Menurutnya, sokongan yang kononnya diperoleh daripada ADUN Pas, PKR dan DAP itu tidak pernah berlaku sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN Saarani nafi dapat sokongan jadi MB Perak