X

Kindly register in order to view this article
!

Kerjasama APEC perkukuh sekuriti makanan

Dialog Dasar Menteri Mengenai Sekuriti Makanan Secara Maya - APEC melibatkan wakil daripada 21 negara anggota di Ibu Pejabat Mardi, Serdang kelmarin. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

SERDANG - Negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu saling bekerjasama bagi memastikan aliran barangan keperluan asas seperti produk pertanian dan makanan terus terjamin merentasi sempadan.

Pendirian itu dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika mempengerusikan Dialog Dasar Menteri Mengenai Sekuriti Makanan Secara Maya - APEC di Ibu Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di sini kelmarin.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memperkukuh daya tahan bekalan makanan seluruh negara anggota itu dalam mendepani cabaran pada masa akan datang termasuk krisis pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang dihadapi dunia termasuk Malaysia.

“Menjadi harapan saya agar sesi dialog hari ini (kelmarin) bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyediakan hala tuju dasar untuk sekuriti makanan dalam wilayah APEC tetapi juga bagi ekonomi anggota APEC untuk terus memperkukuhkan usaha dan kerjasama menuju ke fasa pasca-Covid-19.

“Saya yakin dialog ini akan memanfaatkan ekonomi APEC ke arah mencapai kemakmuran bersama dan keharmonian di wilayah ini,” kata Ronald.

Dialog yang berlangsung lebih dua jam itu turut melibatkan wakil daripada 20 negara anggota.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, dialog yang julung-julung kali diadakan secara maya itu adalah untuk menyediakan platform bagi berkongsi pandangan mengenai strategi berkaitan polisi sekuriti makanan dalam menghadapi ancaman pandemik Covid-19 serta memastikan sekuriti makanan di rantau Asia Pasifik terus proaktif, berdaya tahan dan mampan.

“Kesan Covid-19 sangat besar khususnya kepada ekonomi sehingga menyaksikan banyak norma baharu terpaksa dilaksanakan.

“Ia secara tidak langsung telah menjejaskan banyak ekonomi APEC kerana kesannya turut dirasai di seluruh dunia,” katanya.

Selain itu, Ronald berkata, Malaysia juga telah menyatakan pendirian bahawa kerjasama pada peringkat APEC dalam sekuriti makanan perlu diperkukuhkan dalam bidang teknologi, inovasi dan pembangunan kapasiti tambahan dalam keadaan pasca pandemik Covid-19.

“Keutamaan perlu diberikan dalam meningkatkan daya tahan sistem makanan bagi memastikan sumber makanan yang mampan melalui penggunaan teknologi serta digital ekonomi yang lebih menyeluruh dalam sektor pertanian,” katanya.

Menurutnya, keutamaan itu akan memastikan negara-negara ekonomi APEC mampu menangani sebarang ketidaktentuan pada masa hadapan.

“Ekonomi APEC harus menggunakan kaedah yang menyeluruh bagi memastikan kumpulan terdedah tidak ketinggalan semasa tempoh mencabar ini.

“Ia selari dengan matlamat sistem makanan yang lestari dan pada masa yang sama memastikan bekalan makanan yang mencukupi pada setiap masa termasuk untuk keperluan generasi akan datang,” katanya.

Ronald Kiandee - FOTO ROSLI TALIB
Ronald Kiandee - FOTO ROSLI TALIB

Dalam pada itu, Malaysia juga mengalu-alukan persiapan New Zealand sebagai tuan rumah penganjuran APEC 2021 secara maya.

Ronald turut memuji kumpulan kerja sektor pertanian yang berjaya menjalankan beberapa rancangan kerja berkaitan termasuk kajian terhadap Rangka Kerja Sekuriti Makanan APEC Menuju 2020.

Katanya, pujian tersebut wajar diberikan kerana kejayaan kumpulan kerja itu melaksanakan rancangan kerja meskipun berdepan banyak cabaran.

“Tahniah kepada semua yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif yang sangat baik ini.

“Kerjasama yang kukuh bukan sahaja penting untuk mendepani ketidaktentuan masa depan, malah bagi menyediakan maka-nan sihat yang mencukupi dan berpatutan,” kata beliau.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!