X

Kindly register in order to view this article
!

Mustapha Ahmad Merican penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul

Mustapha Ahmad Merican - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul SAW 1442H/2020M sempena Maulidur Rasul tahun ini.

Penganugerahan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Facebooknya malam tadi.

"Sekalung tahniah kepada semua penerima anugerah Semarak Cinta Rasul 1442H.

"Melalui penganugerahan ini, kerajaan mengiktiraf usaha-usaha NGO, barisan hadapan (frontliners), pendakwah dan OKU serta peranan wanita dalam pembangunan masyarakat madani.

"Semoga ia menjadi pemangkin kepada keutuhan ummah dan kesejahteraan negara," katanya.

Beliau turut memuat naik poster ucapan tahniah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan memaparkan beberapa sumbangan dan pengiktirafan yang diterima Mustapha.

Antaranya, Mustapha menerima Anugerah Tokoh NGO Antarabangsa daripada Perdana Menteri Kemboja dan pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.

Sumbangan lain, Mustapha memberi bantuan kepada rakyat Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Laos sepanjang pandemik koronavirus (Covid-19).

Mustapha juga terlibat dalam rundingan diplomatik dan hubungan persahabatan untuk pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada Februari 2019.

Poster ucapan tahniah oleh Jakim dengan memaparkan beberapa sumbangan dan pengiktirafan yang diterima Mustapha.
Poster ucapan tahniah oleh Jakim dengan memaparkan beberapa sumbangan dan pengiktirafan yang diterima Mustapha.

Mustapha turut memberi sumbangan bantuan kebajikan dan menaik taraf masjid serta surau di negara Islam serantau.

Dalam pada itu, sambutan Maulidur Rasul tahun ini bertemakan Ummah Rabbani Negara Harmoni turut memilih enam tokoh dari pelbagai profesion sebagai penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul SAW 1442H/2020M.

Mereka adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki; Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Center Foundation, Nicholas [email protected] serta Guru Pendidikan Khas, Zakaria Yahya.

Tiga lagi, Presiden Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor dan Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Norhayati Rusli serta bekas Ketua Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Zawiah Hassan.

Enam tokoh dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul SAW 1442H/2020M.
Enam tokoh dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul SAW 1442H/2020M.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!