Maulidur Rasul disambut sederhana dalam norma baharu

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Datuk Abdul Rahman Yob pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1442H/2020M malam ini. - Foto Bernama
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kepada Datuk Abdul Rahman Yob pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1442H/2020M malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun diuji dengan pandemik Covid-19, kemeriahan Maulidur Rasul tetap dirasai sungguhpun disambut secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard dalam suasana norma baharu.

Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud merasmikan Taman Islam Darul Hana di Jalan Tun Salahuddin di sini malam ini sempena majlis sambutan peringkat negeri untuk memperingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu.

Majlis perasmian itu turut dihadiri isteri Abdul Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kenamaan negeri.

Sebelum itu Abdul Taib bersama-sama kenamaan lain menghadiri majlis kesyukuran sempena sambutan itu di Masjid Darul Hana yang menjadi sebahagian daripada Taman Islam berkenaan yang siap dibina baru-baru ini dengan kos RM8.6 juta.

Di Perak, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh dihadiri kira-kira 450 orang termasuk Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Majlis sambutan anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti pelancaran Buku Modul Remaja Al-Ridzuan yang menyasarkan penyemaian dan pembinaan generasi muda hari ini mendekatkan diri dengan masjid.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) bergambar bersama penerima cenderahati yang merupakan wakil barisan hadapan pada sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah malam ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) bergambar bersama penerima cenderahati yang merupakan wakil barisan hadapan pada sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah malam ini. - Foto Bernama

Ahmad Faizal turut menyampaikan cenderahati kepada petugas barisan hadapan yang menentang penularan Covid-19 sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah dan berselawat beramai-ramai ke atas Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

Ceramah Maulidur Rasul disampaikan Timbalan Mufti Negeri Perak Datuk Zamri Hashim sebelum solat Isyak berjemaah dan diikuti majlis jamuan makan.

Sementara di Pulau Pinang, seorang pesara guru Datuk Abdul Rahman Yob dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1442 Hijrah peringkat negeri.

Anugerah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang juga merasmikan peringkat negeri itu di Masjid Negeri Pulau Pinang dekat George Town, di sini.

Abdul Rahman yang juga merupakan bekas pesakit kanser usus menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain.

Kira-kira 200 orang jemaah masjid turut serta dalam majlis itu yang disambut secara sederhana sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19. - Bernama

>