Kota Kinabalu pusat jangkitan Covid-19 di pantai barat Sabah

Masidi pada sidang akhbar di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu hari ini.
Masidi pada sidang akhbar di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kota Kinabalu kini dilihat sebagai pusat jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di kawasan pantai barat Sabah susulan beberapa kluster yang wujud di daerah itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hari ini Sabah merekodkan sebanyak 546 kes baharu positif Covid-19.

"Jumlah yang tinggi ini turut disumbangkan kes yang tinggi di Kota Kinabalu.

"Ini bermakna bahawa Kota Kinabalu sudah menjadi satu pusat jangkitan Covid-19 di pantai barat Sabah," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Masidi bagaimanapun berkata, ia adalah berdasarkan situasi yang beliau lihat menerusi Kluster Penjara Kepayan dan kluster baharu iaitu Kluster Sri Gaya ia berkaitan dengan individu yang dijangkiti dan menjangkiti kontak rapat yang lain.

"Apa saya katakan sebagai pusat jangkitan adalah dari saya sendiri dan bukan daripada pihak kesihatan.

"Saya gunakan perkataan pusat jangkitan kerana kes baharu yang dicatatkan di Kota Kinabalu dan kalau kita lihat keadaan jangkitan di Kota Kinabalu ia berkaitan dengan kontak rapat, iaitu seorang yang dijangkiti akan menjangkiti rakan mereka," katanya.

Masidi dalam pada itu turut memaklumkan bahawa hari ini Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak 159 kes baharu diikuti Sandakan (116), Tawau (101), Lahad Datu (44) dan Tuaran (28).

Artikel Berkaitan:

Putatan pula mencatat 25 kes, selian Papar (15), Keningau (11), Penampang (9), Beaufort (8), Kota Belud (7), Semporna dan Ranau masing-masing enam kes, Kudat (4), Kinabantangan dan Tambunan masing-masing dua kes, Kunak, Tenom serta Nabawan catat satu kes.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan saringan bagi Kluster Penjara Kepayan sudah selesai sepenuhnya dan jumlah yang disaring termasuk pegawai penjara adalah seramai 2,701 orang.

"Kumulatif kes positif adalah seramai 1,652 orang melibatkan 1,212 warga tempatan dan 440 bukan warganegara," katanya.

Mengulas lanjut berhubung punca jangkitan yang berlaku di Kluster Penjara Kepayan, Masidi berkata, ia berpunca daripada seorang tahanan yang dibawa ke Hospital Queen Elizabeth atas masalah kesihatan.

"Ujian Covid-19 telah dilakukan sebagai saringan pra kemasukan hospital dan beliau tidak menunjukkan apa-apa simptom berkaitan Covid-19 ketika saringan dijalankan dan punca jangkitan berkemungkinan diperolehi dari komuniti," katanya.