Masa operasi premis makanan di Kuching dihadkan

Anggota polis meletakkan kon-kon di jalan masuk utama ke Kampung Haji Baki di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kampung itu bermula hari ini sehingga 11 November ini. - Foto Bernama
Anggota polis meletakkan kon-kon di jalan masuk utama ke Kampung Haji Baki di sini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kampung itu bermula hari ini sehingga 11 November ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Masa operasi kedai makanan atau bistro di daerah Kuching dihadkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa esok, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak itu berkata, keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan kes positif di daerah Kuching.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut memutuskan semua gimnasium atau pusat kecergasan awam dan swasta di daerah Kuching ditutup serta-merta.

"Bagi majlis sosial dan rasmi yang membabitkan perhimpunan orang ramai di daerah Kuching, hanya dibenarkan jumlah maksimum seramai 200 orang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Uggah berkata, pihak penganjur hendaklah memastikan bahawa pensanitasi tangan disediakan, penjarakan fizikal diamalkan dan semua yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka.

Mengulas keputusan menutup pusat hiburan yang diumumkan semalam, beliau berkata, kategori yang dimaksudkan ialah pub, bar, lounge, disko, dewan tari-menari, kabaret dan karaoke.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing pada sidang akhbar sama mengumumkan bahawa pihak Jabatan Kesihatan akan membuka pusat ujian Covid-19 di lima klinik awam bermula Jumaat ini.

Beliau berkata, klinik yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Batu Kawa, Klinik Kesihatan Kota Sentosa, Klinik Kesihatan Tanah Putih, Klinik Kesihatan Petra Jaya dan Klinik Kesihatan Jalan Masjid.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai boleh ke klinik terbabit untuk menjalani ujian Covid-19 namun mereka perlu membuat janji temu terlebih dahulu bagi mengelak kesesakan dan tempoh menunggu yang lama. - Bernama