Kes denggi di Ipoh meningkat 140 peratus

Satu kematian direkodkan akibat denggi di Bandaraya Ipoh berbanding sifar kematian dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.
Satu kematian direkodkan akibat denggi di Bandaraya Ipoh berbanding sifar kematian dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.
A
A
A

IPOH - Kes denggi di Bandaraya Ipoh meningkat 140.2 peratus atau 1,165 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Oktober tahun ini berbanding 485 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, satu kematian direkodkan berbanding sifar kematian dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Selain itu, Rumaizi berkata, jumlah kumulatif kes Chikungunya di daerah Kinta bermula Januari sehingga 26 Oktober lepas adalah sebanyak 583.

"Aktiviti pencegahan, kawalan dan promosi kesihatan kesedaran berkaitan demam denggi dan Chikungunya dilaksanakan sejak Jun lalu dapat membantu mengurangkan lokaliti wabak denggi daripada 35 kepada sifar wabak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penglibatan pihak berkuasa negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli majlis, ketua komuniti dalam melaksanakan aktiviti turun padang serta hebahan maklumat menerusi media massa dan media sosial banyak membantu menangani penurunan kedua-dua kes berkenaan.

Terdahulu, Rumaizi dalam ucapan pada mesyuarat penuh MBI bagi bulan Oktober berkata, MBI mewajibkan semua bangunan, agensi kerajaan, premis perniagaan serta menggalakkan bangunan persendirian di Bandaraya Ipoh agar mengibarkan bendera negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 6 November depan.

Katanya, pengibaran bendera negeri di premis masing-masing adalah sebagai lambang taat setia kepada Raja Pemerintah.

"Untuk menceriakan suasana sambutan, bangunan kerajaan dan premis perniagaan digalakkan menyalakan lampu di bangunan masing-masing sehingga jam 12 tengah malam, 5 November," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: