NGO diminta dapatkan nasihat KKM sebelum edar bantuan ke Sabah

Ismail Sabri pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.
 - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat turun padang mengagihkan bantuan barangan keperluan di Sabah diminta mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kawasan yang perlu diberi bantuan tersebut selamat sekali gus mengelakkan mereka daripada dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19).

"Banyak kawasan di Sabah yang mana hampir keseluruhannya telah menjadi Zon Merah dan kita tidak tahu di mana dan siapa yang menjadi pembawa (Covid-19).

"NGO-NGO ini perlu jumpa KKM untuk dapatkan nasihat berhubung situasi kawasan berkenaan selain mereka dapat pastikan kawasan tersebut benar-benar selamat untuk mereka mengedarkan bantuan berkenaan, " katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Beliau berkata selain itu pihak NGO juga disaran bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah supaya urusan pengagihan barangan bantuan berkenaan lebih sistematik dan tersusun.

Katanya, menerusi kerjasama itu agihan bantuan turut dapat diselaraskan mengikut kawasan dan keperluan penduduk di Sabah.

"Kita tidak mahu nanti ada kawasan yang dapat (barangan) lebih, ada kawasan yang dapat kurang.

"Apabila NGO jumpa dengan jawatankuasa negeri, agihan ini boleh diselaraskan dengan sempurna, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pelajar yang perlu ke luar negara bagi menyambung pengajian termasuk mendaftar sebagai pelajar baharu, dibenarkan berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, mereka perlu mengemukakan bukti seperti surat tawaran, surat menyambung pengajian dan jadual belajar daripada universiti masing-masing kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

"Ibu bapa yang mahu menghantar dan menemani anak-anak mereka ke luar negara terutamanya bagi pelajar baharu juga dibenarkan dengan had dua orang sahaja," katanya. -Bernama