Empat ditahan disyaki tipu pembelian sarung tangan getah

Nik Ezanee
Nik Ezanee
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai empat individu diberkas di sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam kerana disyaki terlibat dengan penipuan pembelian sarung tangan getah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 45 tahun termasuk dua wanita itu ditahan pada jam 10.30 malam.

"Kita turut merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh fail yang mengandungi pelbagai dokumen, sebuah komputer dan cop milik syarikat.

"Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek masih dikehendaki bersabit empat laporan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tangkapan itu susulan laporan seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga pengarah syarikat mendakwa telah ditipu berhubung pembelian 39,000 kotak sarung tangan getah bernilai RM1.28 juta.

Katanya, mangsa yang diwakili oleh ejennya telah pergi melihat stok sarung tangan tersebut dan berjumpa dengan suspek untuk membuat pengesahan pada 8 September lalu.

Antara barangan yang dirampas di sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.
Antara barangan yang dirampas di sebuah pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

"Mangsa telah membuat dua kali pembayaran ke dalam akaun bank milik suspek pada keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menyatakan akan terus menghantar barang tersebut ke syarikat mangsa, namun barangan tersebut tidak sampai atas alasan stok telah dijual kepada syarikat lain," katanya.

Beliau berkata, suspek berjanji untuk memulangkan semula wang mangsa sebelum 13 Oktober lalu.

"Suspek telah memberikan gambar bukti transaksi pembayaran balik yang palsu kepada mangsa, malah suspek juga menyerahkan cek palsu kepada mangsa pada 13 Oktober lalu bagi menyakinkannya bahawa pembayaran telah dibuat," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.