89 warga China didakwa terlibat aktiviti pertaruhan haram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 89 warga China termasuk lelaki dan wanita didakwa di tujuh Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini, atas tuduhan membenarkan sesebuah tempat menjalankan aktiviti pertaruhan haram, minggu lepas.

Daripada jumlah itu, 62 tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin, Farah Adlini Mohd Din, Noorasyikin Sahat, Namirah Hanum Mohamed Albaki dan Rahni Kartini Abd Rahim.

Sementara 27 lagi tertuduh tidak direkodkan pengakuan kerana ketiadaan jurubahasa Mandarin di hadapan dua Majistret Umzarul An-Nur Umar dan Maizatul Munirah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berusia antara 17 dan 49 tahun didakwa membenarkan sesebuah tempat menjalankan aktiviti pertaruhan haram di sebuah premis di tingkat 9 Menara Hai-O, Jalan Bukit Bintang pada 1.30 pagi, 21 Jan lepas mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi prosiding masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan, Amirul Asyraf Abdul Rashid, Nur Farah Adilah Noordin, Siti Hajar Mohd Ashif dan Ahmad Zikri Jaafar, Ruzanna Razali dan Noorelynna Hanim Abd Halim.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM2,300 dan RM11,000 dan menetapkan 1,4,7,8,12 dan 13 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 23 Januari lepas, media melaporkan polis telah membuat serbuan di sebuah pejabat di Jalan Bukit Bintang di sini, yang dipercayai menjadi pusat panggilan kegiatan judi dalam talian, Isnin lepas.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu mereka yang ditahan berumur antara 17 dan 49 tahun, yang merupakan pekerja, pengurus dan penjaga pusat berkenaan, yang dipercayai turut menyimpan pelbagai maklumat pertaruhan judi.

Artikel Berkaitan:

Modus operandi sindiket itu adalah melakukan promosi berkaitan operasi perjudian melalui aplikasi WeChat yang kemudian kaki judi di China yang berminat dikehendaki memindahkan wang dengan jumlah tertentu dalam akaun yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk berjudi. - Bernama