X

Kindly register in order to view this article
!

Stok makanan haiwan di Zoo Melaka berkurangan

Shadan (dua dari kanan) bersama wakil syarikat Evergreen Energy yang menyumbangkan sayur-sayuran kepada haiwan di Zoo Melaka di Ayer Keroh hari ini.
A
A

MELAKA - Pengunjung Zoo Melaka mencatatkan penurunan sehingga 90 peratus sejak bulan lalu menyebabkan lokasi pelancongan popular di Melaka itu berdepan kekurangan stok makanan haiwan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, kemasukan pengunjung di Zoo berkenaan mencatatkan jumlah konsisten iaitu seramai 10,000 orang sepanjang Julai hingga September lalu.

Bagaimanapun, katanya, sejak negara menghadapi gelombang ketiga penularan Covid-19, jumlah tersebut semakin perlahan apabila mencatatkan 1,000 pengunjung sahaja bulan ini.

"Malah, beberapa minggu ini turut merekodkan jumlah pengunjung yang berkurangan.

"Ini juga terkesan apabila beberapa negeri seperti Putrajaya dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP). Difahamkan bukan Zoo Melaka sahaja terjejas tapi begitu juga di tempat lain," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan lima tan sayur-sayuran daripada Evergreen Energy di Zoo Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Shadan berkata, Zoo Melaka turut berdepan dengan implikasi kekurangan stok bekalan makanan untuk 120 spesies haiwan yang dipelihara berikutan penyusutan jumlah pengunjung tersebut.

Shadan memberikan makanan kepada gajah sebagai simbolik penyampaian sumbangan daripada Evergreen Energy di Zoo Melaka Ayer Keroh hari ini.
Shadan memberikan makanan kepada gajah sebagai simbolik penyampaian sumbangan daripada Evergreen Energy di Zoo Melaka Ayer Keroh hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka bernasib baik kerana terdapat individu dan syarikat luar yang prihatin menyumbangkan makanan bagi membantu 600 ekor haiwan di pusat konservasi itu.

Setakat ini, katanya, sebanyak 10 buah syarikat telah menyalurkan dengan sumbangan sebanyak RM100,000 termasuk dalam bentuk makanan dan wang ringgit.

"Jumlah ini walaupun tidak mencukupi namun ia amat membantu untuk menyelenggara stok makanan 600 haiwan yang kita pelihara di Zoo Melaka.

"Kita juga sedang merangka program haiwan angkat yang akan dibuka kepada syarikat-syarikat berminat termasuk syarikat perbankan bagi mendapatkan sokongan penjagaan haiwan-haiwan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Zoo Melaka sedang membuat potongan harga tiket masuk bagi pengunjung sehingga 30 November ini.

Beliau berkata, sebanyak RM17 dikenakan untuk dewasa dan RM7 bagi kanak-kanak berbanding RM25 dewasa dan RM15 kanak-kanak sebelum ini.

"Selain itu, anak-anak Melaka mendapat tawaran harga RM13 dewasa dan RM5 kanak-kanak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!