Waris pelajar merungut capaian internet lemah

Dari kiri: Raja Mohd Amazon, Najmi dan Tuan Kamarul Arief (tiga dari kanan) ketika hadir ke Majlis Sumbangan Program Musaadah Yadim di Penjara Alor Setar hari ini.
Dari kiri: Raja Mohd Amazon, Najmi dan Tuan Kamarul Arief (tiga dari kanan) ketika hadir ke Majlis Sumbangan Program Musaadah Yadim di Penjara Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelajar yang berada di luar bandar menghadapi masalah pembelajaran dalam talian sekiranya kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Exco Pendidikan Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, terdapat rungutan dan aduan oleh waris pelajar berhubung masalah itu dan pihaknya meminta pengurusan sekolah yang terlibat menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang tertangguh secara manual.

"(Proses secara) manual maksudnya guru-guru menyediakan nota kemudian waris pergi ambil nota yang disediakan oleh guru. rungutan sikit-sikit itu adalah, tapi masing-masing faham dalam keadaan macam ini.

"Hendak buat sepenuhnya memang tak dapat. Tapi harap ibu bapa memahami keadaan yang kita hadapi sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Musaadah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) di Penjara Alor Setar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Penjara Alor Setar, Raja Mohd Amazon Raja Daud.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat waris pelajar sekitar Pekan Kupang, Baling tidak bersetuju proses pembelajaran secara dalam talian boleh menjadi alternatif terbaik jika sekolah ditutup susulan penularan wabak Covid-19.

Jelas mereka, tahap capaian internet yang sangat lemah menjejaskan penglibatan anak-anak mereka dalam setiap sesi pembelajaran yang dilaksanakan pihak pengurusan sekolah secara dalam talian.

Sementara itu, Najmi berkata, sehingga hari ini, hanya tiga buah sekolah di Kedah yang masih ditutup berikutan pelajar dan staf pengurusannya didapati positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary dan SMK Sultanah Bahiyah di daerah Kota Setar serta Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang di daerah Baling," katanya.