Syor tambahan RM2.7 juta bantu usahawan mikro

Saarani (tengah) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Saarani (tengah) pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Peruntukan tambahan sebanyak RM2.7 juta diperlukan bagi membantu golongan usahawan mikro di Perak yang terkesan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bantuan yang disalurkan menerusi Geran Prihatin Usahawan Perak (GeRUP) itu telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta, namun jumlah terbabit tidak mencukupi.

Sejak permohonan GeRUP dibuka Julai lalu, beliau berkata, didapati seramai 1,115 daripada 4,563 permohonan layak mendapatkan bantuan geran yang diberikan secara 'one-off' berjumlah RM3,000.

“Cuma masalahnya kita hanya ada RM1 juta sahaja dan kita hendak beri RM3,000 seorang. Sudah tentu kita tidak mampu membiayai keseluruhan 1,115 permohonan yang layak ini.

"Bagi fasa pertama, kita telah meluluskan peruntukan kepada 300 usahawan yang melibatkan RM900,000. Baki 815 permohonan lagi, kita telah putuskan untuk memohon ihsan kerajaan negeri untuk meluluskan tambahan dana iaitu melibatkan peruntukan RM2.7 juta," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Halizah Sipun dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razali.

Saarani berkata, cadangan tambahan dana RM2.7 juta itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dipertimbangkan.

Sekiranya diluluskan, katanya, bayaran kepada 815 lagi usahawan itu dijangka dapat dilakukan seawalnya pada 31 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan fasa pertama membabitkan 300 usahawan ini akan disalurkan awal pada November depan.

"Lebihan RM100,000 daripada peruntukan itu pula akan digunakan bagi membiayai pelaksanaan kursus dan program khas kepada semua usahawan terlibat," katanya.

Julai lalu, kerajaan negeri Perak memperkenalkan GeRUP bagi membantu usahawan mikro yang tidak mendapat Geran Khas Prihatin (GKP) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan.

Geran tersebut disalurkan melalui SME Corp dan dibantu oleh 24 agensi berkaitan.