Pemuda UMNO hantar memorandum kepada kedutaan Perancis

Pemuda UMNO hari ini menghantar memorandum kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron melalui wakil kedutaan negara itu di Jalan Tun Razak di sini.
Pemuda UMNO hari ini menghantar memorandum kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron melalui wakil kedutaan negara itu di Jalan Tun Razak di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO hari ini menghantar memorandum kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron melalui wakil kedutaan negara itu di Jalan Tun Razak di sini bagi membantah kenyataan beliau berhubung isu menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Exco Pemuda UMNO, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham berkata, memorandum itu dihantar untuk memohon kenyataan balas daripada kerajaan Perancis yang diminta menarik semula kenyataan Macron dan memohon maaf kepada umat Islam.

"Ia merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan ektremisme dan keganasan.

"Kami juga menghormati ruang untuk berbicara secara terbuka atau 'freedom of speech' tetapi kebebasan berbicara ada batasannya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di Kedutaan Perancis di sini.

Beliau berkata, kenyataan Macron itu merupakan satu penghinaan terbesar, lebih-lebih lagi menjelang sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW esok.

Ikmal Hazlan berkata, pihaknya menghormati hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan Perancis serta mahu ia berterusan namun kerajaan negara itu juga perlu menghormati agama, budaya dan sensitiviti orang Islam.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Macron," kata beliau sambil menambah bahawa jika tiada respons dari kerajaan Perancis, pihaknya akan terus mendesak untuk memboikot produk keluaran negara itu.

Hari ini, Bernama melaporkan bahawa Malaysia amat memandang serius serta mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam sambil mengutuk keras tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam.

Artikel Berkaitan:

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memetik beberapa tindakan itu sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

Kenyataan Macron minggu lepas dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas mangsa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan insiden serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015. - Bernama