X

Kindly register in order to view this article
!

DAP sedia kerjasama semua parti desak lanjut moratorium

Lim Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - DAP akan bekerjasama dengan semua parti politik untuk menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank secara automatik enam bulan lagi.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, lanjutan itu diperlukan untuk membantu menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas disebabkan lonjakan jangkitan koronavirus (Covid-19).

“Kerajaan Perikatan Nasional mengecewakan banyak rakyat Malaysia dengan gagal memanjangkan tempoh moratorium pinjaman bank secara automatik selama enam bulan lagi ketika Muhyiddin menyampaikan bantuan kewangan tambahan sebanyak RM10 bilion Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, pakej Kita Prihatin tidak mungkin dapat membantu meningkatkan ekonomi berikutan jumlah kes Covid-19 yang baharu direkodkan.

Menurutnya, gelombang ketiga jangkitan melembapkan pemulihan ekonomi yang baharu berlaku terutama dalam kalangan perniagaan kecil.

“(Ini) memerlukan langkah ekonomi dan kewangan segera untuk mencegah penurunan ekonomi yang lain pada suku akhir tahun ini.

“Atas sebab ini, lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik selama enam bulan lagi hingga 31 Mac 2021 adalah perlu untuk mengatasi penurunan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Guan Eng berkata, moratorium pinjaman yang berakhir 30 September 2020 membantu meringankan beban perniagaan dan isi rumah yang terjejas akibat Covid-19.

Menurutnya, moratorium enam bulan diperkenalkan oleh pemerintah PN untuk membantu rakyat berdepan kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

"Ia menangguhkan pembayaran balik pinjaman, termasuk pinjaman gadai janji dan sewa beli," tegasnya.

Guan Eng berkata, nilai moratorium pinjaman yang membantu lapan juta peminjam individu dan korporat sebanyak RM90 bilion, bantuan kewangan besar itu membantu menyelamatkan sumber pendapatan, perniagaan dan pekerjaan.

Menurutnya, selepas berakhirnya moratorium pada September, Muhyiddin berkata kerajaan mendesak bank memberikan penyambungan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank.

"Perdana Menteri berkata ia membantu lebih 1.4 juta peminjam. Bagaimanapun, jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah berbanding lapan juta peminjam individu dan korporat yang mendapat manfaat daripada penangguhan enam bulan automatik moratorium pinjaman bank.

“Kos lanjutan moratorium pinjaman automatik hanya RM6.4 bilion. Industri perbankan mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada 2019 mampu menanggung kos tersebut,” katanya.

Kata beliau, semua parti politik harus bekerjasama mendesak lanjutan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan di Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!