X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di tiga kampung daerah Kudat mulai 30 Oktober

Ismail Sabri ketika berucap pada sidang media perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tiga kampung di daerah Kudat, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 30 Oktober hingga 12 November, berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit adalah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang melibatkan 2,393 unit rumah serta 13,884 penduduk.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan pula dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 31 Oktober sehingga 13 November kerana masih terdapat peningkatan kes positif.

“Sebelum ini PKPB di Labuan telah diisytiharkan bermula 17 sehingga 30 Oktober, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk di Labuan dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang dikesan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 508 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu 501 individu dikompaun, enam lagi direman manakala seorang dijamin.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka (160), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (113), ingkar penjarakan fizikal (97), premis beroperasi lebih masa (33), aktiviti di pusat hiburan (10) dan lain-lain (95).

"Tiga negeri yang mencatatkan jumlah individu dikompaun atas kesalahan ingkar arahan PKP tertinggi adalah Kuala Lumpur (192 individu), Selangor (155 individu) dan Sabah seramai 36 individu," katanya.

Mengulas mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 18 warga asing telah ditahan dan tiga kenderaan darat berjaya dirampas semalam.

“Ada pengurangan daripada jumlah tangkapan, kaedah kita kali ini adalah lebih kepada mengusir (pendatang tanpa izin) daripada menangkap mereka.

“Kita akan menanggung kos tinggi untuk menjaga mereka dan pada masa yang sama, ini membahayakan kerana ada kemungkinan mereka membawa virus COVID-19, jadi sebelum masuk kawasan sempadan, kita usir mereka keluar,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 55,833 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 64 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 381 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 46,450 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!