X

Kindly register in order to view this article
!

Shafie sedia disiasat SPRM isu pinjaman RM300 juta

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersedia untuk disiasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pinjaman RM300 juta yang diberikan oleh Bank Pembangunan Sabah (SDB) kepada AirAsia Berhad.

Beliau berkata, sebagai bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, beliau sedar tiada apa-apa yang tersembunyi atau disembunyikan di sebalik pinjaman itu.

"Ini kerana permohonan itu bukan dibuat dalam tempoh semalaman sebaliknya SDB telah melakukan siasatan dan pertimbangan terbaik serta menyeluruh sebelum kelulusan diberikan.

"AirAsia Berhad adalah sebuah syarikat yang berdaftar di Bursa Malaysia, justeru sebarang urusan transaksi bernilai RM300 juta sudah tentu kelulusan diberikan selepas semua syarat pinjaman dipatuhi oleh pemohon," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjadi pilihan rakyat Malaysia, AirAsia mempunyai pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada Sabah dengan syarikat itu menyasarkan mencipta sebanyak 100,000 peluang pekerjaan di negeri ini.

"Syarikat penerbangan itu merancang untuk beberapa projek pembangunan di Kota Kinabalu antaranya stor simpanan hasil pertanian dikenali sebagai OurFarm selaras dengan sasaran mereka menjadi pengedar utama hasil pertanian dan perikanan yang dijual melalui perniagaan digital atau e-commerce.

"AirAsia juga merancang membelanjakan sebanyak RM110 juta untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai hab antarabangsa mereka," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, segala perancangan AirAsia sudah tentu memberi manfaat kepada Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil pertanian dan perikanan.

"Malah semasa saya menjadi Ketua Menteri, Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian 2021-2030 telah dilancarkan untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri pengeluar produk pertanian selain memastikan jaminan makanan (food security) kepada negara.

"Dengan adanya bekalan produk pertanian, petani kita sudah tentu mampu menjana lebih banyak pendapatan dengan pasaran yang lebih luas sehingga ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan AirAsia sebagai perantara.

"Untuk memasarkan produk pertanian, sistem pengangkutan amat penting, justeru AirAsia bersedia menyediakan penerbangan agar setiap produk itu dapat sampai ke destinasi dengan cepat sebelum rosak," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, dalam sektor pelancongan pula, sudah tentu kegemilangan Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong akan kembali sekiranya sasaran AirAsia menjadikan negeri ini sebagai hab antarabangsa menjadi realiti.

"Kita sedar sebelum koronavirus (Covid-19) melanda, ekonomi Sabah meningkat dengan pesat dalam sektor pelancongan dan rakyat menerima limpahan ekonomi yang tidak terbatas di semua peringkat bukan sahaja di Kota Kinabalu tetapi melimpah sehingga ke Pantai Timur Sabah.

"Sebagai pentadbir negeri, kita tidak boleh bergantung kepada satu syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS) semata-mata, sebaliknya peranan syarikat lain terutama AirAsia juga tidak boleh diperkecilkan.

"Sehubungan itu, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab memajukan ekonomi, kerjasama erat perlu dilakukan dengan AirAsia kerana jika perancangan mereka berjaya, rakyat Sabah sendiri akan menerima manfaat," katanya.

AirAsia Group Bhd sebelum ini mengesahkan bahawa syarikat penerbangan itu memperoleh pinjaman sebanyak RM300 juta daripada SDB dan bukan daripada mana-mana pembiayaan atau jaminan kerajaan.

Bagaimanapun, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menggesa kerajaan Sabah menghentikan pinjaman yang diluluskan anak syarikatnya, SDB kepada AirAsia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!