PKPD: Penghuni Plaza Hentian Kajang jalani saringan Covid-19

Petugas KKM melakukan saringan terhadap penghuni Plaza Hentian Kajang.
Petugas KKM melakukan saringan terhadap penghuni Plaza Hentian Kajang.
A
A
A

KAJANG - Sebahagian penghuni bangunan komersial di Pusat Hentian Kajang menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) menjalankan ujian saringan berkenaan di beberapa lokasi di dalam kawasan plaza berkenaan pada jam 3 petang.

Pusat Hentian Kajang itu turut dipagar dengan kawat duri dan hanya satu laluan masuk dibuka dengan pemeriksaan ketat dilakukan oleh pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kelihatan kenderaan Jabatan Penerangan Malaysia turut membuat hebahan menggunakan pembesar suara berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selain maklumat berkaitan kedai runcit dalam kawasan itu dibenarkan beroperasi.

Hanya seorang wakil daripada setiap unit kediaman dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan.

Semua aktiviti keluar masuk ke kawasan itu tidak dibenarkan sepanjang PKPD tetapi ketika pemerhatian di lokasi mendapati terdapat kenderaan cuba melepasi pemeriksaan polis, namun diarahkan untuk berpatah balik.

Difahamkan terdapat 14 blok di dalam kawasan berkenaan merangkumi premis perniagaan, kediaman penduduk serta asrama pekerja warga asing.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang bermula hari ini hingga 9 November nanti susulan peningkatan kes positif di kawasan terbabit.

Beliau memaklumkan seramai 7,500 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan perlaksanaan itu.

Artikel Berkaitan: