Tiada parasit dalam Pas mahu hancurkan Muafakat Nasional

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pas mengesahkan tiada parasit dalam parti itu yang cuba menghancurkan Muafakat Nasional susulan pergolakan yang berlaku di peringkat Pusat membabitkan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan itu adalah disebabkan parasit dalam parti berkenaan telah meninggalkan Pas dengan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, ini menyebabkan Muafakat Nasional tetap utuh walaupun PN berdepan badai politik akibat tuntutan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya sahkan dalam Pas semua parasit sudah tiada, mereka sudah keluar parti. Dalam UMNO, saya tak pastilah. ALLAH SWT yang gerakkan hati mereka untuk tinggalkan Pas, bukan dihambat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, pergolakan di peringkat Pusat tidak sedikit pun menjejaskan hubungan di peringkat negeri sama ada Muafakat Nasional mahupun PN Kedah.

“Saya tak berdepan sebarang masalah politik di Kedah, kami pun tidak pernah bincang apa-apa tuntutan daripada mana-mana parti seperti yang berlaku di Pusat. Alhamdulillah, Muafakat Nasional dan PN Kedah harmoni dan kukuh,” katanya.

Semalam, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk kekal menyokong kerajaan PN dengan menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai kehormatan dan konsensus politik.

Ia diumumkan selepas beberapa jam Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kemungkinan bekerjasama dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa melibatkan parti DAP.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut berhubung keperluan merombak Kabinet sedia ada susulan desakan beberapa pihak, Muhammad Sanusi berkata, terserah kepada pertimbangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada mahu menerima pandangan berkenaan.

“Saya difahamkan berlaku sedikit rasa tidak puas hati kalangan pemimpin UMNO kerana pimpinan tertinggi parti itu tidak diberikan tempat di Kabinet, mereka mahu lantikan menteri berdasarkan hierarki parti, itu permintaan UMNO.

"Dalam situasi politik kini, kita mendengar terlalu banyak kehendak menyebabkan kita berhadapan dengan terlalu banyak perbezaan.

“Paling mudah kita ikut satu kepimpinan. Ramai orang ikut seorang lebih mudah berbanding seorang ikut ramai orang, ini yang menimbulkan masalah.

"Yang berlaku sekarang, terlalu banyak kehendak. Dia minta seorang ikut mereka semua. Satu orang mengikut kehendak seribu kemahuan, tentulah akan tunggang terbalik sebab pandangan seribu orang tidak sama. Bila sudah lantik seorang pemimpin, ikutlah dia, baru teratur. Dalam politik pun sama,” katanya tanpa mendedahkan siapa yang dimaksudkan.