Keputusan pendengaran kes pekebun durian Raub pada 9 Disember

Hanya 20 plaintif dibenarkan masuk ke dalam kamar Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini berikutan SOP Covid-19, manakala selebihnya menunggu di pekarangan kompleks mahkamah.
Hanya 20 plaintif dibenarkan masuk ke dalam kamar Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini berikutan SOP Covid-19, manakala selebihnya menunggu di pekarangan kompleks mahkamah.
A
A
A

KUANTAN - Keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka akan diketahui pada 9 Disember depan.

Tarikh itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz setelah mendengar hujah kedua-dua pihak plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva serta responden-responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dalam sebutan semula kes hari ini.

Pada prosiding hari ini, Noor Fadzila menegaskan bahawa kesemua plaintif tidak mempunyai locus standi atau hak untuk membuat permohonan itu memandangkan mereka bukan pemilik tanah, mahupun dikurniakan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau hak milik ke atas tanah tersebut.

Hujahnya, kerajaan negeri bertindak memberi notis untuk mengosongkan tanah tersebut dan memberikan mereka tempoh untuk mengosongkannya supaya tidak rugi sedangkan sebagai pemilik tanah, kerajaan boleh sahaja menghalau mereka.

Noor Fadzila juga berhujah bahawa notis yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri itu berupa notis pentadbiran dan bukanlah sesuatu yang perlu diputuskan di peringkat kehakiman.

Justeru, hujahnya, kesemua plaintif telah membuat permohonan yang salah kerana mengikut Seksyen 418 Kanun Tanah Negara, plaintif perlu memfailkan rayuan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh notis tersebut dikomunikasikan kepada mereka, bukan memfailkan semakan kehakiman.

Peguam mewakili pekebun durian, Choon Jern memberikan pemahaman kepada media berhubung prosiding di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.
Peguam mewakili pekebun durian, Choon Jern memberikan pemahaman kepada media berhubung prosiding di Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini.

Pada prosiding sama, Choon Jern turut memohon mahkamah membenarkan penggantungan sementara yang sepatutnya tamat pada hari ini dan disambung sehingga 9 Disember.

Artikel Berkaitan:

Choon Jern turut memaklumkan bahawa seorang daripada 111 pekebun durian itu menarik balik permohonan, manakala 94 pekebun yang lain turut memfailkan permohonan yang sama terhadap responden sama pada hari ini dan permohonan itu akan didengar pada 9 Disember nanti.

Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.

Zainal Azman pada 28 Ogos lalu membenarkan pendengaran permohonan ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.

Sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh mahkamah tinggi, kerajaan negeri perlu menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali ketika ditemui di luar mahkamah berkata, hanya 20 orang daripada lebih 100 pekebun yang merupakan plaintif kes tersebut dibenarkan memasuki kamar mahkamah pada satu-satu masa.

Menurutnya, seramai 11 pegawai dan 50 anggota polis pelbagai cawangan ditugaskan di mahkamah pada hari ini sebagai langkah pengawasan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dipatuhi dengan baik.