Buang alat menembak ikan elak ditahan

Polis Marin menyerahkan kelima-lima suspek kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut. - FOTO POLIS MARIN LANGKAWI
Polis Marin menyerahkan kelima-lima suspek kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut. - FOTO POLIS MARIN LANGKAWI
A
A
A

LANGKAWI - Tindakan lima individu yang menceroboh dan menembak ikan di Pulau Payar, Langkawi dekat sini akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan pasukan Polis Marin dalam Ops Benteng koronavirus (Covid-19) di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kesemua lelaki berusia 20 hingga 57 tahun itu ditahan atas kesalahan menembak ikan kerana taman laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan menurut peruntukan Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).

Menurutnya, semasa kehadiran polis, kelima-lima suspek telah bertindak membuang peralatan menembak ikan ke laut dalam usaha untuk menyembunyikan kesalahan mereka.

"Tangkapan itu dibuat pada jam 1 petang semalam setelah bot ronda PSC 18 menerima maklumat daripada orang awam dan seorang pegawai bersama empat anggota telah dikerahkan ke sana.

Anggota Polis Marin menunjukkan sebahagian ikan yang telah ditangkap oleh suspek di kawasan Pulau Payar, Langkawi semalam. - FOTO POLIS MARIN LANGKAWI
Anggota Polis Marin menunjukkan sebahagian ikan yang telah ditangkap oleh suspek di kawasan Pulau Payar, Langkawi semalam. - FOTO POLIS MARIN LANGKAWI

"Antara barangan lain yang turut disita adalah sebuah bot aluminium berwarna biru berserta enjin sangkut 30HP, tong ikan dan empat set alatan menyelam berserta ikan hasil pemburuan suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosman berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM70,000 dan kesemua tangkapan dan rampasan diserah kepada Jabatan Perikanan Langkawi untuk tindakan lanjut.

"Semua suspek ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43(1)(a), Akta Perikanan 1985; berada dalam taman laut atau rizab laut di perairan Malaysia tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Pengarah (a) menangkap ikan atau cuba menangkap ikan.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,"katanya.