AirAsia serah notis, tuntut ganti rugi RM480j dari MAHB

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - AirAsia telah menyerahkan notis terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menuntut ganti rugi hampir RM480 juta bagi kerugian dialaminya daripada beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

AirAsia menyatakan punca kerugian sebanyak RM479,781,285 itu sebahagian besarnya berpunca daripada kehilangan pelanggan dalam tempoh empat tahun lepas akibat gangguan operasi dan keadaan tidak memuaskan di terminal klia2.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, notis untuk memulakan mediasi, dikeluarkan bersama dengan AirAsia X, menyatakan MASSB menyediakan "perkhidmatan tidak memuaskan” di terminal, mengakibatkannya menanggung kerugian dan kerosakan pada dua pesawatnya.

“Ini termasuk pembatalan dan kehilangan pendapatan daripada beberapa penutupan landasan terbang, kerosakan pada apron, kerosakan pada dua pesawatnya akibat infrastrukur dan sensor MASSB gagal berfungsi, saluran bahan bakar bocor di Pier P klia2, gangguan perkhidmatan internet dan kehilangan pelanggan,” katanya.

AirAsia dan AirAsia X bersama-sama memohon diadakan mediasi mengikut Seksyen 74 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) , yang menetapkan pertikaian itu perlu terlebih dahulu diselesaikan secara baik menerusi mediasi.

Di bawah akta itu, sekiranya mediasi gagal, Mavcom kemudiannya akan menyelesaikan pertikaian itu secara timbang tara.

AirAsia dan AirAsia X berkata, mereka berharap untuk menyelesaikan isu itu secara baik dan telah mengelak daripada memfailkan tuntutan balas di mahkamah untuk membolehkan diadakan mediasi, seperti ditetapkan Akta Mavcom Act. - Bernama

Artikel Berkaitan: