Inter mula pamer perubahan

Aksi pemain Inter, Romelu Lukaku (tengah) ketika bersaingan dengan pemain Shakhtar Donetsk, Davit Khocholava (kanan) semasa aksi di Kiev.
Aksi pemain Inter, Romelu Lukaku (tengah) ketika bersaingan dengan pemain Shakhtar Donetsk, Davit Khocholava (kanan) semasa aksi di Kiev.
A
A
A

ANTONIO Conte menyifatkan pemain-pemain Inter Milan telah mempamerkan perubahan positif walaupun sekadar melakar keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Shakhtar Donetsk pada saingan Kumpulan B Liga Juara-Juara di NSC Olympiyskiy, Kiev.

Malah menurut pakar taktikal kelahiran Itali berusia 51 tahun itu, Donetsk lawan yang pernah ditentang pada saingan Liga Europa pada Ogos lalu bukan kelab yang seperti sebelum ini.

“Pemain-pemain Inter Milan sudah mula berani membuktikan sesuatu yang boleh dibanggakan pada perlawanan di laman lawan ini. Sesuatu telah berubah, saya lihat ada aspek positif kerana pemain-pemain tampil dengan momentum dan komitmen sebagai kelab besar.

“Kami menguasai perlawanan dan mempunyai deretan peluang, namun tidak bernasib baik. Di Liga Europa (musim lalu) kami memanfaatkan sebahagian besar peluang, itulah perbezaannya. Shakhtar mempunyai jentera cukup efektif dalam serangan balas.

“Biarpun sejujurnya Shakhtar mempunyai kualiti teknikal terbaik, namun sebenarnya kami selayaknya memenangi perlawanan ini berdasarkan mentaliti pemain-pemain Inter Milan pada perlawanan ini,” katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan gergasi Serie A berkenaan berada pada kedudukan ketiga kumpulan dengan dua mata setelah mengharungi dua perlawanan manakala skuad kendalian Luis Castro itu kini memimpin kumpulan B dengan empat mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Kedua-dua kelab ini pernah bertemu pada musim lalu dalam saingan Liga Europa yang menyaksikan Inter Milan tidak berdepan masalah menewaskan

Shakhtar Donetsk 5-0 pada perlawanan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Conte mengakui bahawa pemain-pemain kelab Itali itu sudah pun membentuk keserasian dalam kalangan mereka sekali gus menyuntik kepada peningkatan dalam kelab berkenaan

“Kami bersama selama setahun dan nampaknya pemain-pemain telah memperoleh pengetahuan dan mendapat keyakinan diri. Pada perlawanan ini menekan setiap bahagian padang dengan berusaha mengambil bola dari lawan kami.

“Dalam keadaan lain sebelum ini pemain-pemain duduk menunggu untuk menjaringkan gol. Namun pada hari ini perkara sebaliknya berlaku dan inilah perubahan yang sama diharapkan berlaku untuk perlawanan seterusnya nanti yang pasti bertekanan tinggi,” katanya.