X

Kindly register in order to view this article
!

Empat disyaki pengedar dadah direman seminggu

A
A

IPOH - Polis menahan reman empat lelaki termasuk seorang yang dapat ditangkap selepas polis melepaskan tembakan yang mengenai tayar kereta dipandunya ketika cuba meloloskan diri dalam kejadian di Salak Baru, Sungai Siput semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, perintah reman selama seminggu ke atas kesemua suspek berusia dalam lingkungan 40-an terbabit dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput pagi tadi.

“Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu lelaki berkenaan yang dipercayai pengedar dadah, selepas dia cuba melarikan diri daripada polis yang melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Salak Baru pada jam 12.30 tengah hari.

Tembakan itu dilepaskan anggota polis bagi mempertahankan diri selepas suspek bertindak agresif mahu melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu.

Dalam serbuan itu, polis turut memberkas tiga lagi suspek di dalam rumah berkenaan selain merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 29.1 gram bernilai RM1,500 daripada mereka. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Polis lepaskan tembakan, empat pengedar dadah ditahan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!