Warga Mesir dijel tiga bulan ugut bunuh, khianat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga Mesir dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu mengugut bunuh seorang lelaki dan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kaunter sebuah kedai telefon minggu lalu.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdelaziz Hassan, 31, jurulatih gimnasium sambilan selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan niat telah mengugut Wong Tien Poh, 32, dengan menyebut perkataan ‘kalau saya keluar dari lokap, saya akan cari kamu dan bunuh kamu’ di kedai Zersnotis Cellure, Tingkat Bawah, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini pada 3.30 petang, 19 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah melakukan khianat dengan memecahkan cermin kaunter kedai sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Rhastdan Abd Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum atas alasan pendapatan anak guamnya tidak menentu.

“Anak guam saya juga telah direman selama sembilan hari sejak ditangkap dan penahanan itu sudah cukup untuk memberinya pengajaran,” kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi memohon hukuman setimpal, mengambil kira tertuduh merupakan warga asing dan telah mendatangkan ketakutan terhadap mangsa.

Difahamkan, kejadian itu berpunca akibat salah faham berhubung pembelian telefon bimbit. - Bernama