Kadar kemalangan di lebuh raya PLUS menurun

Formula 3E bantu menurunkan kadar kemalangan di Lebuh Raya PLUS.
Formula 3E bantu menurunkan kadar kemalangan di Lebuh Raya PLUS.
A
A
A

SHAH ALAM - Formula 3E yang dilaksanakan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi kunci utama kejayaan diiktiraf sebagai pengendali lebuh raya sistem tertutup paling selamat di negara ini oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros).

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan formula 3E itu merangkumi aspek Engineering (kejuruteraan), Enforcement (penguatkuasaan) dan Education (pendidikan) yang diguna pakai turut menyaksikan penurunan jumlah kemalangan di lebuh raya kendaliannya secara konsisten sejak 2017.

Kata PLUS, pada 2016, sebanyak 521,466 insiden trafik direkodkan di seluruh negara di mana hanya 14,532 atau sebanyak 2.8 peratus berlaku di lebuh raya Plus.

"Peratusan tersebut telah menurun kepada 2.7 peratus pada 2017 dan kemudiannya kepada hanya 2.4 peratus pada 2018 dan 2019, walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah insiden trafik di seluruh negara.

"Secara purata, di antara 2013 hingga 2019, hanya 2.6 peratus insiden trafik yang berlaku di seluruh negara berlaku di lebuh raya PLUS.

"Ini membuktikan perjalanan menggunakan lebuh raya PLUS adalah lebih selamat berbanding laluan-laluan lain di negara ini," kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, PLUS berkata, berdasarkan rekodnya, jumlah kemalangan di Jalan Duta-Bukit Raja (NKVE) turut menyaksikan penurunan secara konsisten sejak tahun 2017.

Mengulas lanjut, PLUS juga merupakan syarikat pengendali lebuh raya di Asia yang pertama memenangi anugerah antarabangsa keselamatan jalan raya iaitu ‘Prince Michael International Road Safety Award’ atas kejayaan melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya pada 2019.

Artikel Berkaitan:

"Di antara inisiatif yang diambil adalah memperkenalkan penggunaan Safety Vehicle atau Kenderaan Keselamatan dengan mewujudkan zon selamat sementara untuk membolehkan kerja-kerja pengalihan objek atau halangan dilakukan oleh petugas lebuh raya.

"Terbaharu PLUS telah mendapat kedudukan pertama bagi lebuh raya sistem tertutup berprestasi terbaik dari segi keselamatan dan keselesaan oleh Miros.

"PLUS juga berjaya memperoleh pengiktirafan antarabangsa ISO39001:2013 bagi Pengurusan Keselamatan Jalan Raya," kata PLUS.