Bung Moktar yakin semua MP UMNO sokong Belanjawan 2021

BUNG MOKTAR
BUNG MOKTAR
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin semua ahli Parlimen UMNO akan menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti.

Menurutnya, Belanjawan 2021 penting untuk diluluskan kerana ia merupakan hala tuju kerajaan dalam menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun pada masa sama, Bung Moktar turut meminta kerajaan melihat sekutu dalam kerajaan secara adil dan saksama.

"Bukan saya menganggap (prejudis), tetapi ini keputusan keseluruhan parti iaitu parti melihat bahawa perlu ada revisit (semakan semula) atau pembaharuan dalam semua aspek.

"Ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan satu pasukan dalam kerajaan yang ada ini dan sudah tentu perlu ada perjanjian dalam bentuk bertulis dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menegaskan UMNO tidak mahu Parlimen dibubarkan kerana keutamaan ketika ini adalah menentang musuh tidak nampak iaitu Covid-19.

"Pada saya, ini yang penting kerana keutamaan kita ialah menyelamat keadaan rakyat yang diserang Covid-19 dan ini penting bahawa kita perlu menyokong apa juga yang baik untuk negara serta rakyat," katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berharap bukan sahaja ahli Parlimen kerajaan menyokong Belanjawan 2021 tetapi juga pihak pembangkang perlu mengambil langkah yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka berjiwa besar menyelami denyut nadi rakyat ketika negara berhadapan dengan cabaran penularan wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi negara masa kini, mereka wajar menyokong demi kepentingan rakyat dan negara,", katanya.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.

Seri Paduka Baginda sebaliknya mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

ARTIKEL BERKAITAN Agong titah ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021