Ahli Parlimen kerajaan kemuka usul undi percaya terhadap PM

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan usul undi percaya bagi menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dikemukakan daripada ahli Parlimen kerajaan.

Usul percaya tersebut sekiranya dikalahkan, ini bermakna Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Kita memang ada terima usul undi percaya terhadap Perdana Menteri. Usul itu datang daripada sebelah kerajaan tetapi kita akan tunggu usul yang lebih penting daripada pihak kementerian untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat,” kata Azhar seperti dilaporkan sebuah media tempatan hari ini.

Sebelum ini, Pas ada mengemukakan usul serupa pada Sidang Parlimen terakhir pada Julai lalu tetapi tidak dibahaskan.

Di bawah aturan mesyuarat, urusan kerajaan diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul tidak percaya terhadap Muhyiddin

Sementara itu, Azhar juga mengesahkan bahawa Dewan Rakyat telah menerima usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Namun ketika diminta mengulas lebih lanjut, Azhar meminta perkara itu dirujuk kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk maklumat yang lebih jelas termasuk jumlah usul yang diterima.

Media sebelum ini juga melaporkan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen yang berpihak kepadanya telah mengemukakan lima usul seumpama itu.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, usul tidak percaya itu perlu diberi perhatian oleh Speaker Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat dalam sepucuk surat bagi menjawab penegasan Razaleigh itu berkata, urusan bukan kerajaan hanya boleh mengatasi urusan kerajaan sekiranya ia mendapat sokongan daripada seorang menteri.