Pemandu lori kantoi campur air dalam botol urin

Nor Omar (kanan) melihat pemeriksaan pelepasan asap hitam dari kenderaan perdagangan oleh JAS dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Lumut hari ini.
Nor Omar (kanan) melihat pemeriksaan pelepasan asap hitam dari kenderaan perdagangan oleh JAS dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Lumut hari ini.
A
A
A

LUMUT - Helah seorang pemandu lori yang mencampurkan air dalam botol urin gagal apabila tindakannya itu disedari pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di KM3, Jalan Sitiawan-Kampung Acheh di sini hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an antara dua pemandu lori yang ditahan AADK dalam operasi yang dilaksanakan bermula pada jam 9 pagi selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Menurutnya, seramai 36 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung; Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan AADK terlibat dalam operasi itu.

Nor Omar (tengah) memeriksa lesen dan Mykad milik pemandu lori dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Lumut hari ini.
Nor Omar (tengah) memeriksa lesen dan Mykad milik pemandu lori dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Lumut hari ini.

“Operasi ini bertujuan menguatkuasakan undang-undang meliputi pemeriksaan fizikal kenderaan berat, pelepasan asap yang berlebihan serta mengesan pemandu di bawah pengaruh dadah.

“Sebanyak 512 kenderaan telah diperiksa dalam operasi berlangsung lebih dua jam itu dan 70 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Nor Omar berkata, empat kompaun dan lima notis arahan telah dikeluarkan oleh JAS.

Artikel Berkaitan:

“Penguatkuasaan dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 setelah didapati melepaskan asap hitam melebihi had yang ditetapkan.

“Kompaun yang dikeluarkan itu bernilai maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.