Gesa kerajaan bantu B40, M40 terlibat PKPD, PKPB

Tangkap layar Facebook Mohamad hari ini.
Tangkap layar Facebook Mohamad hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diharap mempertimbangkan bantuan kewangan tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang semakin terbeban terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Demikian reaksi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan susulan laporan terbaharu Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.

Selain itu, katanya, inisiatif Program Penjana juga perlu dilanjutkan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja dan mengelakkan peningkatan kadar pengangguran.

"Kedua, gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) kini dijangka melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama 2021.

"Justeru, saya berharap kerajaan Malaysia akan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini terbukti berjaya meringankan beban rakyat dan menjamin aliran tunai perniagaan, namun telah berakhir pada masa yang genting ini.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh melengahkan masa dalam soal pertumbuhan ekonomi malah Vietnam dijangka memintas Malaysia pada tahun 2020 untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara pelaburan terbaik di rantau ini.

Sehubungan itu, katanya, usaha mesti digiatkan untuk mempercepatkan ‘economic recovery and reseting’ dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan di permudahkan lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga, keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi dan kejelasan polisi sedia ada.

"Setiap polisi dan dasar kerajaan dalam memerangi pandemik ini perlu wajar, berasaskan bukti saintifik, mengambil kira kepentingan awam dan tidak mengelirukan.

"Maka, saya berharap kerajaan mempertimbangkan pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian prosedur operasi standard (SOP) pada saat terakhir," katanya.

Mohamad berkata, sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain akan memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis Covid-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes yang disahkan.

Menurutnya, setiap peringkat amaran itu mempunyai protokol dan sekatan yang tetap dan tidak akan diubahsuai sewenang-wenangnya, terutamanya dari segi SOP di tempat kerja.

"Protokol yang ditetapkan juga mestilah melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja.

"Saya mengulangi pendirian saya bahawa pandemik ini hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan negara," katanya.