Bekas kakitangan SPAD diserap dalam APAD, JPJ

A
A

KUALA LUMPUR – Penyerapan bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke dalam Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijalankan secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya akan terus memantau proses serapan bekas kakitangan SPAD secara berfasa tersebut dan berjanji akan memastikan kesemua mereka yang terlibat akan menerima tawaran.

“Proses penyerapan bekas kakitangan SPAD dilakukan secara berperingkat, memang ada sebahagian yang telah pun diberikan tawaran untuk menyertai APAD dan juga JPJ.

“Serapan kakitangan secara berperingkat ini terpaksa dihadapi kerana ia memerlukan kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berfasa-fasa, sebahagian daripada mereka sudah pun dapat tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui media di kuarters kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di Bangsar, hari ini.

Malah, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban itu turut memberi jaminan bahawa kesemua bekas kakitangan SPAD itu akan menerima tawaran kemasukan dalam agensi lain di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Kita masih menunggu, ada yang belum dapat tawaran itu. Kita akan terus memantau dan kita akan usahakan supaya mereka dapat tawaran itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan badan kerajaan dibubarkan sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.

Ini termasuk beberapa agensi itu termasuk SPAD, Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia