Peniaga tak mengaku curi MPV polis

Mohamad Azrullah (kanan) dikawal oleh polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pagi tadi.
Mohamad Azrullah (kanan) dikawal oleh polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Peniaga ikan bilis mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan termasuk mencuri kereta peronda polis (MPV) milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohamad Azrullah Mohd Rodzi, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, M Kalaiarasi di Mahkamah Butterworth di sini pagi tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Azrullah didakwa mencuri kereta jenis Honda Civic di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 24 Oktober, jam 9.15 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Azrullah didakwa cuba melakukan rompakan di sebuah kedai di Jalan Permatang Manggis, Tasek Gelugor pada hari yang sama kira-kira jam 10 malam.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor turut berada di mahkamah bagi meninjau prosiding kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor turut berada di mahkamah bagi meninjau prosiding kes berkenaan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohamad Azrullah didakwa mencuri dua buah telefon bimbit jenis Vivo dan Iphone 8 milik Nurul Atieka Mazlan di sebuah kedai telefon di Pokok Sena, Tasek Gelugor pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-dua sekali.

Selain itu, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata turut berdepan dengan tiga lagi pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis ketika melakukan jenayah di tiga tempat berasingan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humairah Kamaruzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,500 selain mengarahkan lelaki berkenaan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Hulu Kinta.

Kalaiarasi menetapkan 27 November depan untuk sebutan semula kes berkenaan.