MB sedia ambil tindakan mahkamah dakwaan langgar kuarantin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersedia untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang membuat laporan berhubung dakwaan beliau melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Amirudin berkata, perkara itu bukan sahaja menyusahkan pihak berkuasa malah menyebabkan beberapa pihak salah sangka terhadap beliau.

Menurutnya, pegawai beliau turut dihubungi pihak berkuasa mengenai perkara tersebut.

"Ramai orang tersilap dalam hal ini, jadi saya akan ambil tindakan mahkamah terhadap mereka yang membuat laporan terbabit kerana mereka bukan sahaja menyusahkan polis malah menyebabkan berlakunya salah sangka apabila saya turut dikatakan memakai gelang pink dan sebagainya.

"Sebelum ini, saya sudah kemukakan mengapa dan apa yang berlaku sebenarnya. Malah pegawai saya juga telah pun dihubungi pihak polis dan saya akan memberikan bekerjasama berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Ringkas Penyerahan Sumbangan Kelengkapan PPE kepada Jabatan Penjara Malaysia Negeri Selangor serta Jet Ski dan Basikal Elektrik kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh kerajaan Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam hari ini.

Terdahulu, polis akan memanggil Amirudin ke Bukit Aman dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar arahan kuarantin kendiri selepas pulang dari Sabah.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan sedang dijalankan susulan satu kenyataan dimuat naik berhubung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu yang didakwa ingkar kuarantin pada 5 Oktober lepas.

Artikel Berkaitan:

“Beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan beberapa saksi lain juga akan dipanggil,” katanya