Warga Singapura mengaku salah rasuah pegawai Imigresen

Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah syarikat warganegara Singapura dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM100 kepada seorang pegawai Imigresen pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Yong Boon Tao, 43, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memberi suapan bernilai RM100 kepada seorang Penolong Penguasa Imigresen di Bahagian Pemeriksaan Bas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang melanggar Skim Pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang boleh diusir menggunakan Notis Penolakan Masuk (NTL) kira-kira jam 9.40 pagi, 24 Oktober lalu di Bangunan Sultan Iskandar.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kesalahan turut didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara yang boleh sampai seperempat daripada tempoh yang lama sekali iaitu lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Tertuduh kemudiannya membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Hazza Khalid.

Kamarudin kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua minggu serta denda RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga Singapura direman disyaki rasuah pegawai Imigresen

Pengarah syarikat cuba rasuah masuk Malaysia tanpa kuarantin

Artikel Berkaitan: