Pekerja swasta didakwa hina bekas timbalan menteri

Mohd Azmi (tengah) diiringi Zaharman (kiri) dan polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Mohd Azmi (tengah) diiringi Zaharman (kiri) dan polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang koordinator projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan membuat kenyataan lucah dan menghina bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, dua tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azmi Ismail, 55, didakwa memuat naik kenyataan dalam akaun Facebooknya yang mengandungi elemen tersebut menggunakan telefon bimbitnya dengan niat mengaibkan Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan ikat jamin RM10,000 namun peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin memohon mahkamah mempertimbangkan faktor usia tertuduh, selain tiada rekod lampau dan menyara seorang isteri serta lima anak.

Zaharman turut memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa baru-baru ini terdapat peningkatan kes Covid-19 di penjara-penjara Malaysia.

"Saya mohon sekiranya mahkamah membenarkan denda yang minimum ditetapkan agar isteri tertuduh boleh menjaminnya dan tidak dihantar ke penjara sekali gus sebagai langkah pencegahan Covid-19," katanya.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan permohonan itu dan mengurangkan jaminan kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi boleh didenda RM1,000 sehari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.