X

Kindly register in order to view this article
!

Lima sekatan jalan raya di Nilai

Che Zakaria pada sidang akhbar ketika meninjau persiapan pelaksanaan PKPD di Nilai malam tadi.
A
A

NILAI - Sebanyak lima sekatan jalan raya dilaksanakan di kawasan Nilai susulan penguatkuasaan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula jam 12 tengah malam tadi.

Lokasi sekatan jalan raya berkenaan ialah di Persiaran Pusat Bandar (sekatan jalan raya 1), Persiaran Pusat Bandar (sekatan jalan raya 2), Jalan Pajam-Nilai-Salak (tapak tol lama), Jalan Pajam-Nilai-Salak (Desa Cempaka) dan Jalan BBN 5/2B Taman Desa Jasmin.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, selain dilaksanakan sekatan jalan raya, dua pasukan anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV) turut dikerah membuat rondaan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Seramai 401 pihak berkuasa melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) yang terlibat dalam operasi ini.

"Namun jika ada keperluan untuk menambah jumlah keanggotaan kita akan buat tambahan dari masa ke masa," katanya pada sidang akhbar ketika meninjau persiapan pelaksanaan PKPD di sini, malam tadi.

Selain itu katanya, masih terdapat seramai 180 pekerja kilang Kayamas yang berada di tiga blok bangunan di Putra Point menanti keputusan saringan Covid-19 yang dilakukan.

Che Zakaria berkata, pihaknya menjangkakan tidak akan berlaku masalah besar bagi kawasan yang terlibat dengan PKPD kerana ia berada dalam kawalan polis.

Che Zakaria (dua dari kanan) melihat kawat duri yang dipasang di sekitar bangunan di Putra Point, Nilai yang terlibat dengan PKPD malam tadi.
Che Zakaria (dua dari kanan) melihat kawat duri yang dipasang di sekitar bangunan di Putra Point, Nilai yang terlibat dengan PKPD malam tadi.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada masyarakat supaya memberi kerjasama sepenuhnya dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ini.

"Saya minta penduduk untuk patuhi segala peraturan diwartakan untuk PKPD dan PKPB seperti mana dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jika tiada keperluan untuk keluar, duduklah di rumah melainkan perlu pergi bekerja atau keluar membeli barangan keperluan yang itu pun hanya dibenarkan dua orang sahaja untuk satu kenderaan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya mendapati masyarakat memahami arahan PKPD dan PKPB yang dilaksanakan serta tidak panik.

Terdahulu media melaporkan sebanyak 35 lokaliti termasuk taman perumahan di Zon Nilai terlibat dalam pelaksanaan PKPB bermula tengah malam tadi, manakala sebahagian tiga jalan di Putra Point terlibat dengan PKPD bermula malam ini hingga 10 November 2020.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!