Sampai bila nak peram pemain?

BAM menganjurkan kejohanan jemputan pada Ogos lalu sebagai medan menguji prestasi pemain negara. - Foto FB BAM
BAM menganjurkan kejohanan jemputan pada Ogos lalu sebagai medan menguji prestasi pemain negara. - Foto FB BAM
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) diminta menganjurkan kembali kejohanan sirkit kebangsaan bagi memastikan prestasi pemain elit dan pelapis negara kekal berada pada tahap terbaik.

Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim berkata, penganjuran kejohanan tersebut dianggap alternatif terbaik selepas mereka lama tidak beraksi secara kompetitif ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Bila terlalu banyak kejohanan bawah BWF (Persekutuan Badminton Dunia) dibatalkan akibat Covid-19 ini, BAM perlu lebih proaktif mengadakan pertandingan bagi menguji tahap prestasi pemain termasuk pelapis peringkat negeri.

“Inisiatif BAM menganjurkan kejohanan jemputan Ogos lalu boleh kita anggap sebagai usaha terpuji. Tetapi saya tidak nampak kejohanan dalaman itu memberi impak positif kepada barisan pemain negara kerana mereka hanya berdepan rakan-rakan sepelatih.

“Sebaiknya BAM mengaktifkan semula kejohanan peringkat negeri seperti dilakukan pada era tahun 1990-an dulu. Ketika itu, di setiap negeri ada kejohanan sirkit masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Roslin memberitahu, penggiat mahupun komuniti sukan tanah air sudah mula belajar mengharungi kehidupan norma baharu berikutan wabak Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini.

“Kita kena ingat pemain-pemain sudah mengharungi krisis Covid-19 hampir tujuh bulan. Kita sebenarnya kena lebih berani dalam mengharungi kehidupan dalam norma baharu ini, sampai bila dan berapa lama kita hendak peram pemain negara dan pelapis ini?

“Saya percaya wabak Covid-19 ini mengambil masa yang lama untuk diatasi... mungkin setahun dua lagi. Tapi kita sebenarnya sudah berjaya mengawalnya beberapa bulan lalu, cuma sekarang kita perlu lebih berdisiplin.

Artikel Berkaitan:

“Dulu kita memang terkejut dengan wabak Covid-19, sebab apa? Sebab kita tidak disediakan dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti sekarang dalam mencegah jangkitan dan memutuskan rantaian pandemik ini.

“Jadi apabila sudah ada SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain SOP tambahan daripada persatuan (BAM), jadi saya tidak nampak mengapa perlu ada halangan kepada BAM menganjurkan pertandingan.

“Pada saya pihak BAM boleh jadikan penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Sepak Takraw (STL) oleh Persatuan Sepak Takraw (PSM) sebagai rujukan,” ujarnya.

Roslin berkata, beliau percaya pemain-pemain negara sudah bersedia mengalas sebarang cabaran sekiranya dihantar bagi menyertai sebarang kejohanan baik dalam mahupun luar negara.

"Atlet dalam sukan jenis apa pun mereka ini ada sasaran dalam diri mereka setiap tahun kerana kena ingat inilah kerjaya mereka, sama juga dengan profesion lain dalam kalangan anggota masyarakat lain. Jadi apabila mereka sudah mula berlatih mengikut jadual-jadual yang disusun persatuan, tentunya mereka mahu menguji prestasi mereka.

"Apabila dianjurkan kejohanan di luar negara, tentunya mereka teruja untuk menyahut cabaran ini kerana mereka sudah bersedia mental dan fizikal dalam membuktikan kesiapsiagaan masing-masing.

"Jadi persatuan perlu berani menghantar pemain-pemain negara menyertai sebarang kejohanan antarabangsa bagi mereka menguji prestasi atlet mereka. Saya percaya penganjur kejohanan luar negara pun SOP dia akan lebih ketat demi menjaga imej penganjuran kejohanan.

"Sebagai contoh, Terbuka Denmark tempoh hari sepatutnya disahut cabaran oleh pemain-pemain negara selepas penangguhan Piala Thomas dan Uber, namun sebaliknya berlaku kerana ini satu-satunya peluang pemain negara beraksi di pentas kompetitif.

"Difahamkan Terbuka Denmark tidak disertai banyak negara seperti Piala Thomas dan Uber, pada masa sama BWF menjadikan kejohanan itu kayu pengukur bagi pelaksanaan SOP Covid-19, tidakkah ini satu lagi kerugian buat pemain-pemain negara?" kata Roslin.