Rekrut pemain sedia ada

 Mohd Nidzam Jamil
Mohd Nidzam Jamil
A
A
A

PIHAK pengurusan The Fighters Sdn Bhd disaran merekrut sebahagian pemain Felda United untuk berada dalam pasukan baharu yang bakal dibentuk bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil melihat ia langkah tepat sekiranya pasukan baharu itu mahu memiliki pemain yang sudah mempunyai pengalaman dalam kancah liga domestik.

“Saya tidak pasti foundation atau asas pasukan baharu itu akan diambil daripada pasukan Felda United sekarang atau tidak. Tetapi jika mereka nak menubuhkan sebuah pasukan baharu bermula daripada kosong, ia akan menjadi sangat sukar bagi membentuk pasukan yang mantap.

“Kalau foundation itu diambil daripada pasukan Felda United yang nak ditutup ini, saya rasa mungkin 30 peratus atau 40 peratus daripada pemain terbabit sudah bersedia untuk bersaing dan selebihnya mereka hanya perlu merancang untuk melengkapkan pasukan.

“Namun, jika pengurusan atau pemilik baharu itu tidak mahu tetapi mahu menggunakan 100 peratus pemain baharu, maka saya pun tak boleh buat apa. Ini cuma pandangan ikhlas saya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nasib para pemain Felda United pada saingan Liga-M musim depan masih tidak menentu. - Foto Bernama
Nasib para pemain Felda United pada saingan Liga-M musim depan masih tidak menentu. - Foto Bernama

Terdahulu, syarikat The Fighters Sdn Bhd yang dimiliki pengurusan lama Felda United dilaporkan dalam fasa akhir memohon penswastaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka membentuk pasukan musim depan.

Wakil The Fighters yang juga bekas Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman dalam laporan Sinar Harian semalam juga tidak dapat memberikan pengesahan mengenai nasib pemain Felda United sama ada akan diserap dalam pasukan baharu nanti.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: The Fighters optimis lulus penswastaan

Mohd Nidzam memberitahu, barisan pemain dan kejurulatihan Felda United belum dihubungi oleh pihak The Fighters Sdn Bhd sekiranya khidmat mereka masih diperlukan.

“Sudah tentu kami rasa kecewa selepas mengetahui Felda United tidak akan beraksi lagi musim depan. Namun, selepas sebulan kami sudah boleh menerimanya dan ada pemain yang sudah memikirkan perancangan masa depan.

“Bagi saya sendiri, saya tidak marah kerana inilah bola sepak. Perkara sebegini adalah lumrah dan ia hak pengurusan sekiranya mereka tidak mahu beraksi lagi dalam saingan liga. Kita kena menerimanya,” jelasnya.