X

Kindly register in order to view this article
!

MFL tak tanggung kos tambahan

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Ab Ghani
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak akan membantu dari segi kewangan sekiranya ada pasukan yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa mengeluarkan belanja lebih beraksi di luar gelanggang rasmi mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pasukan yang terlibat perlu menanggung perbelanjaan itu sendiri dan pihaknya akan hanya menjadi medium pemudah cara untuk mencari venue latihan atau pertandingan.

“Setiap pasukan yang terlibat perlulah berusaha menyelesaikan sendiri perkara berkaitan perbelanjaan tersebut. Kami faham kekangan pasukan terlibat, tetapi mereka perlu ikhtiar menyelesaikannya.

“Di pihak kami sendiri ada kekangan tertentu dan kami tidak boleh membantu dari segi perbelanjaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) meminta MFL untuk membantu skuad The Hawks apabila terpaksa mengeluarkan belanja lebih selepas tidak dapat bermain di gelanggang sendiri disebabkan PKPB ketika ini.

Dalam masa sama, beberapa pasukan Borneo seperti Kuching FA dan Sabah kemungkinan juga terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih kerana terpaksa berada di Semenanjung sehingga saingan Piala Malaysia tamat.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan aksi terakhir CIMB Liga Super antara Sabah dan UiTM FC akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada jam 9 malam Sabtu ini.

“Perlawanan terakhir Liga Premier antara Kuala Lumpur dan Kuching FA juga diadakan di Stadium Hang Jebat pada jam 5 petang hari yang sama,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, saingan Piala Malaysia yang akan bermula 6 November ini akan tetap diteruskan di sebalik peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Setakat ini, masih diteruskan dan kita akan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Namun jika keadaan tambah membimbangkan, kita akan berbincang kembali mengambil kira situasi semasa,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!