Kenapakah Najib cadang ‘Yes Anwar, No DAP’?

Cadangan Najib untuk memberi sokongan bersyarat kepada Anwar dan PKR mendapat pelbagai reaksi daripada ahli UMNO.
Cadangan Najib untuk memberi sokongan bersyarat kepada Anwar dan PKR mendapat pelbagai reaksi daripada ahli UMNO.
A
A
A

SELEPAS Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan pengisytiharan darurat yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, drama krisis politik negara yang berpanjangan sejak sebulan lalu terus berlarutan.

Kelmarin, rakyat negara ini dikejutkan pula dengan dakwaan terdapat segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) secara lantang menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Lebih menggemparkan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengesahkan ada mengemukakan cadangan bersyarat untuk mengajak BN bekerjasama dengan Anwar, namun tanpa disertai DAP dalam satu mesyuarat BN petang kelmarin.

Difahamkan, cadangan itu mendapat reaksi negatif daripada majoriti Ahli Parlimen BN memandangkan pendirian BN dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selama ini adalah No Anwar, No DAP.

Najib dikerumuni pemberita di lobi Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam kelmarin.
Najib dikerumuni pemberita di lobi Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam kelmarin.

Kesan perbezaan pendapat yang tercetus daripada mesyuarat berkenaan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya memutuskan parti itu akan meneruskan sokongan kepada kerajaan PN dalam satu mesyuarat khas MKT UMNO pada sebelah malamnya.

Zahid juga mengumumkan UMNO dan BN akan meneruskan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Anwar yang mereka sifatkan sebagai mendapat dokongan DAP, musuh ketat parti itu.

Sebelum itu, desas-desus sokongan kepada Anwar kedengaran selepas Ketua Pembangkang itu membuat pengumuman mendapatkan sokongan kukuh menubuhkan kerajaan pada 24 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Meskipun UMNO akhirnya mengumumkan untuk kembali mempertahankan kerajaan PN, namun rakyat negara ini di peringkat akar umbi kini mula meragui motif sebenar di sebalik cadangan bersyarat Najib.

Sekadar cadangan

Pada masa sama, kesungguhan UMNO untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara mula dipersoalkan akar umbi parti itu dan pengundi seluruh negara susulan langkah politik terkini yang diambil parti itu seolah-olah demi memenuhi kepentingan peribadi.

Dari sudut pandang orang awam yang tidak memahami seni politik, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segambut, Ahmad Baidzawi Saleh Hamdi mengakui golongan itu kecewa dengan pandangan politik yang diutarakan Ahli Parlimen Pekan itu.

Jelasnya, golongan tersebut melihat cadangan Najib itu sebagai percubaan mengelak pendakwaan kes mahkamah, selain pertuduhan pemimpin UMNO kemaruk untuk mendapat jawatan dan kuasa politik.

“Saya akui imej Najib sedang tercalar teruk kesan polemik politik terbaharu, namun beliau masih ada banyak masa untuk memikirkan satu keadah terbaik memulihkan imejnya.

“Mungkin dengan langkah mengemukakan permohonan maaf dan mengaku terkhilaf di atas pandangan mengelirukan yang diberikan, Najib akan kembali diterima rakyat dan implikasi itu penting kepada UMNO kerana parti sebenarnya turut terkesan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ahmad Baidzawi Saleh Hamdi
Ahmad Baidzawi Saleh Hamdi

Meskipun drama politik UMNO dan BN sedikit reda selepas pengumuman Zahid malam kelmarin, Ahmad Baidzawi mengakui pemimpin-pemimpin veteran seperti Najib dan Zahid seharusnya mengundurkan diri bagi memberi ruang kepada pemimpin muka baharu pada masa hadapan.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan tindakan Najib yang sanggup mencadangkan sokongan kepada Anwar yang dianggap lebih tidak bermoral berbanding Muhyiddin.

Dalam satu kenyataan, Tun Faisal mendakwa hanya individu yang dijanjikan sesuatu daripada Anwar yang akan mengambil tindakan menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Jangan bagi alasan ini sekadar cadangan hanya selepas pandemik koronavirus (Covid-19) selesai. Ini alasan orang yang takut kena hentam. Bukan semua orang naif dan boleh terpedaya dengan alasan sebegini,” katanya semalam.

Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

Pandangan Tun Faisal itu yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menggambarkan pertelagahan dalaman antara pemimpin atasan UMNO.

Bagaimanapun, Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Fathulbari Mat Jahaya menegaskan pendirian Najib semalam hanya bersifat peribadi dan sekadar satu opsyen penyelesaian sekiranya Bersatu berterusan cuba mengetepikan peranan UMNO dalam kerajaan PN.

“Saya tidak ada maklumat (kaitan Najib didakwa menyokong Anwar). Cuma pendirian akar umbi adalah berlandaskan keputusan MKT UMNO yang sudah diputuskan lama dahulu iaitu ‘No Anwar, No DAP.

“Selain itu, dakwaan mesyuarat semalam (kelmarin) untuk membatalkan pendirian itu juga adalah tidak benar. Sebaliknya, pendirian MKT UMNO diulangi kembali kerana kita tidak mahu rakyat di bawah bingung dengan kecelaruan politik terkini yang berlaku,” katanya.

Ludah ke langit

Sementara itu, Ketua Pemuda DAPSY, Howard Lee Chuan How memberi jaminan DAP tidak akan sesekali terlibat dengan sebarang usaha menubuhkan kerajaan baharu bersama UMNO, lebih-lebih lagi melibatkan pemimpin ‘kluster mahkamah’ diketuai Najib.

“Soal sama ada Anwar benar-benar merencana kerjasama dengan UMNO, itu saya tidak tahu.

“Namun, DAP menegaskan tidak akan wujud kerjasama dengan mereka, termasuklah kerajaan PN dengan terdapat dua pemimpinnya yang mencaturkan pengkhianatan terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya kepada Sinar Harian.

Howard Lee Chuan How
Howard Lee Chuan How

Howard turut membidas Najib dengan menyifatkan pemimpin UMNO itu ibarat ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’ selepas gagal merencana percaturan politik untuk menekan kerajaan PN.

“Bagi saya, apa yang berlaku tampak macam episod perebutan kuasa dengan percaturan politik mereka akhirnya memakan diri,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Rashila Ramli berpandangan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan ahli politik, tidak kira daripada parti mana, menunjukkan sikap kurang matang mereka pada saat negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi paling getir ketika ini.

“Jika dilihat, kemelut politik yang berlaku lebih kepada kemahuan peribadi dengan perkara sedemikian patutlah diketepikan semua ahli politik kerana kepekaan rakyat dalam berpolitik semakin meningkat,” katanya.