Perkembangan dron tidak jejas peluang pekerjaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkembangan teknologi dron tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan rakyat negara ini kerana ia memainkan peranan dalam kemakmuran negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Jelasnya, perkembangan teknologi dron yang pantas telah memangkin kemajuan inovasi teknologi yang secara langsung mempelbagaikan kemahiran tenaga kerja.

"Jika kita lihat ketika zaman internet diperkenalkan, ramai menganggap ia akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan itu sama sekali silap apabila ia telah melipatgandakan peluang pekerjaan pada ketika itu.

"Saya percaya perkara yang sama juga akan berlaku apabila penggunaan dron diperluaskan terutama dalam bidang pertanian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Technology Update-Drone Technology di Seri Kembangan, hari ini.

Beliau turut mengumumkan kementeriannya telah membangunkan dan meluluskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi tahap dua dan tiga dalam bidang teknologi dron semalam (30 Januari).

Kula Segaran berkata, perkara itu dilaksanakan sejajar dengan perkembangan teknologi dron yang dapat menambah nilai kemahiran pekerja yang diperlukan sebagai persediaan awal menghadapi fenomena Revolusi Perindustrian 4.0.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan satu kursus dron khas dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada masa akan datang bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti tenaga kerja graduan. - Bernama

Artikel Berkaitan: